Jangan Tertipu Alasan Politik, Pilih Parti Utamakan Rakyat – Bung Moktar

KINABATANGAN, 16 Julai – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan rakyat tidak mudah terpedaya dengan tindakan segelintir pemimpin yang melompat parti kononnya demi menjaga kepentingan rakyat, sedangkan hakikatnya mereka hanya mahu menjaga kepentingan peribadi.

Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap ADUN Lamag, tindakan melompat parti demi imbuhan dan jawatan adalah satu bentuk pengkhianatan kepada mandat rakyat.

“Jangan percaya dengan kata-kata pemimpin yang melompat dari satu parti ke satu parti. Mereka bukan lompat sebab nak bantu rakyat, mereka lompat sebab nak cari makan untuk diri sendiri,” tegas beliau selepas menjayakan program Jelajah Radu Tatap Radu (RTR) di PDM Kota Kinabatangan, DUN Lamag, baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan pelbagai isu yang berlegar di DUN Lamag, termasuk rungutan dan suara tidak puas hati daripada pihak tertentu terhadap kepimpinan UMNO.
Namun beliau menegaskan bahawa pemimpin UMNO harus terus bercakap benar demi membela nasib rakyat.

“Saya meminta pemimpin-pemimpin UMNO di semua tempat bicaralah yang benar, bahawa Sabah pada masa ini mengalami krisis air berterusan, api letrik pandai mati-mati, jalan raya tidak terurus, kos sara hidup rakyat makin meningkat, ini bukan fitnah… ini fakta.”

Justeru, Bung Moktar menyeru semua pemimpin UMNO agar terus dekat dengan rakyat dan bercakap berdasarkan realiti, bukan menabur janji kosong seperti mana dilakukan sesetengah bekas pemimpin yang kini menjual alasan demi kepentingan politik peribadi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79