Jangan Jadi ‘Nasi Tambah’: Perkukuh UMNO Dengan Semangat Jitu
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mengingatkan ahli parti agar tidak menjadi sepertimana perumpamaan Melayu ‘nasi tambah’ kepada isu-isu yang timbul khususnya membabitkan parti berkenaan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Kota Melaka seterusnya menambah fenomena atau tindakan sedemikian tidak memberi apa-apa manfaat sedikit pun kepada parti malah boleh menimbulkan senario yang tidak sihat kepada UMNO.
“Dalam menghadapi apa jua isu sama ada di peringkat negeri mahupun nasional kita tidak boleh menjadi ‘nasi tambah’ yang akhirnya hanya menyemarakkan lagi kekeliruan dan perpecahan.
“Kita berada dalam fasa memperkukuh semula parti. Alhamdulillah, di bawah kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kita melihat hala tuju parti semakin jelas dan mantap. Usaha ini tidak akan berjaya tanpa dokongan dan kesetiaan akar umbi.
“Sokongan padu daripada akar umbi amatlah penting. Parti yang kukuh datang daripada ahli yang bersatu, setia, dan matang dalam mendepani isu. Oleh itu, saya menyeru semua ahli agar terus berdiri teguh untuk terus memperkasakan lagi parti khususnya di Kota Melaka ini,” katanya kepada UMNO Online
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas seterusnya menambah ahli parti perlu menilai sebaiknya apabila timbul sesuatu isu apatah lagi jika dilontarkan di media sosial.
“Kita juga perlu bijak menilai sesuatu isu yang timbul, khususnya di media sosial. Dalam zaman fitnah ini, pelbagai dakwaan tidak berasas boleh mencetuskan salah faham. Maka, saya menyeru agar setiap daripada kita mengambil pendekatan ‘menyemak sebelum menyebar’.
“Parti ini sedang diuji. Jangan kita menjadi penyumbang kepada kelemahan. Jangan kita menambah beban kepada perjuangan yang sedang digerakkan. Mari kita bersatu hati, elakkan sikap prejudis dan terus berjuang untuk kekuatan parti demi masa depan negara dan rakyat. Jangan jadi ‘nasi tambah’,” ujarnya lagi. – UMNO Online