UMNO Perlu Bangkit Dan Mara Demi Rakyat – Reezal Merican

KLANG, 15 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru agar seluruh jentera parti terus memperkukuh saf perjuangan dalam menghadapi cabaran politik semasa yang semakin mencabar.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Klang Tahun 2025 yang berlangsung dalam suasana penuh semangat baru-baru ini.

“Saya yakin dan percaya, mesyuarat hari ini bukan sekadar urusan rutin parti. Ia adalah medan untuk kita mencorak strategi, mengukuhkan pasukan, memperkemas gerak kerja dan membina kekuatan dalaman serta luaran parti,” ujar beliau.

Menurut Reezal Merican, UMNO kini berada dalam gelanggang perjuangan yang menuntut bukan sahaja keberanian dan tekad, malah pemahaman yang jelas terhadap medan politik, musuh serta hala tuju perjuangan.

“UMNO sedang berdepan cabaran yang jauh lebih mencabar daripada sebelumnya. Maka untuk melangkah ke hadapan, kita perlu benar-benar faham medan perjuangan ini, kenal musuh, tahu arah, dan bergerak dalam satu barisan yang tersusun,” katanya.

Reezal Merican juga mengingatkan bahawa walau UMNO pernah jatuh, ia tidak bermakna parti akan terus rebah.

“UMNO mesti bangkit semula! Kerana dalam adat orang Melayu, kita mungkin jatuh, tetapi tidak akan terus rebah. Bangkit dan mara demi rakyat.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Klang, Iszuwan Ismail, dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Klang, Nor Zakiah Azmi serta seluruh barisan kepimpinan yang telah berjaya melaksanakan mesyuarat perwakilan tahunan dengan jayanya.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Zainuri Datuk Zainal; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Klang, Datin Paduka Datuk Nor Hayati Onn dan Naib Ketua UMNO Bahagian Klang Datuk Sheikh Rajesh. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79