Titah Adendum Disahkan, Laksana Keadilan Untuk Najib – Arman Azha

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah menyifatkan kelewatan pelaksanaan Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai satu kegagalan sistem untuk menzahirkan keadilan sebenar.

Ini kerana katanya, setelah dua mahkamah iaitu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mengakui kewujudan titah tersebut, seharusnya tiada lagi ruang untuk mempertikaikannya.

“Tolong laksanakan keadilan dengan seadil-adilnya dan melaksanakan Titah Adendum tahanan rumah. Apa yang berlaku di mahkamah ianya boleh dilaksanakan melalui proses undang-undang.

“Kenapa masih ada pihak mempertikaikan kesahihan titah tersebut sedangkan Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman mengesahkan Titah Adendum. Saya mohon kerajaan dan mahkamah serta pihak-pihak yang berkaitan segera melaksanakan.

“Keseluruhan rakyat memerhati perkara tersebut dan ‘something is wrong some where’ dan keadilan tidak dibawa dengan seadil-adilnya. Titah tersebut sudah dua kali dibentangkan di Mahkamah Tinggi dan Rayuan dan harus dilaksanakan,” katanya kepada UMNO Online.

Armand menjelaskan bahawa Peguam Negara Tan Seri Mohd Dusuki Mokhtar telah mengesahkan Titah Adendum untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak adalah wujud.

“Kesahihan titah adendum itu pada 2 dan 9 Julai 2025. Apa lagi yang hendak dinafikan keadilan buat Najib Razak. Sedangkan hak beliau (Najib) telah dikurniakan oleh Yang di Pertuan Agong (YDPA) ke -16.

“Adakah tahanan Najib Razak sepanjang setahun itu satu tahanan yang kejam terhadap tubuh badan yang telah diberikan Titah Adendum kepadanya. Apabila titah tersebut dipertikaikan, adakah perkara yang hendak dirahsiakan,” tegasnya.

Armand juga berdoa agar keadilan diberikan dengan seadil-adilnya kepada Najib Razak dan keputusan pada 30 Julai ini memihak kepada beliau.

“Sama-sama kita perjuangkan keadilan yang seadilnya buat Najib Razak, semoga keputusan pada 30 Julai ini memihak kepada beliau dan semoga Allah SWT mempermudahkannya,” ujarnya.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara tidak mempertikaikan kewujudan perintah tambahan diraja iaitu Titah Adendum yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti memutuskan agar kes semakan kehakiman berkaitan dakwaan kewujudan perintah tambahan yang membolehkan Najib menjalani tahanan rumah dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79