Pemuda UMNO Pokok Sena Gesa Jangan Lengahkan Pelaksanaan Titah Adendum

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad menggesa agar pelaksanaan Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang memperkenankan tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dilaksanakan segera, selaras dengan prinsip keadilan dan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

Menurut beliau, pelaksanaan titah tersebut adalah penting bagi menjunjung prinsip keadilan serta memperkukuh institusi Raja.

“Kewujudan Titah Addendum tersebut, yang disampaikan melalui surat rasmi Istana Pahang bertarikh 4 Januari 2025 kepada anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar Najib merupakan tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024.

“Pengesahan ini memperkukuh kedudukan institusi Raja Berperlembagaan dan menzahirkan keprihatinan Tuanku terhadap prinsip keadilan dan ihsan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, kata Farhan, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan Najib Razak untuk semakan kehakiman terhadap Titah Addendum dengan keputusan majoriti 2-1, dan kes kini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk semakan substantif.

“Perkembangan ini menunjukkan sistem kehakiman mengiktiraf asas undang-undang bagi mempertimbangkan pelaksanaan tahanan rumah.

“Kelewatan pelaksanaan Titah Diraja tersebut dan mengaitkannya dengan kelemahan pentadbiran serta kurangnya penghormatan terhadap titah yang sah di sisi undang-undang,” jelasnya.

Tambah Farhan lagi, langkah itu menunjukkan iltizam parti dalam mempertahankan prinsip keadilan dan kedaulatan Raja Berpelembagaan.

“UMNO sendiri telah merafak sembah memohon agar titah tersebut dilaksanakan segera, demi menjunjung kuasa Raja dan prinsip keadilan,” ujarnya.

Pada masa sama Farhan turut menempelak kenyataan Ahli Parlimen Kepong yang menurutnya menyimpang daripada tatasusila dalam menanggapi Titah Diraja, serta memberi gambaran seolah-olah institusi Raja dan proses pengampunan diperkecilkan.

“Komitmen kerajaan terhadap reformasi kehakiman yang dilaungkan, khususnya struktur Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang masih membolehkan Perdana Menteri melantik lima daripada sembilan ahli.

“Kita tidak boleh bersikap selektif dalam menghormati Titah Diraja hanya apabila ia selari dengan naratif politik sendiri. Prinsip undang-undang tidak boleh dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu,” tegasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79