Muhyiddin Obses Mahu Jadi PM ‘Tebuk Atap’ – Puad
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil menyifatkan pemimpin itu sebagai obses ‘menebuk atap’.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata ini kerana Muhyiddin melalui kenyataannya mendesak Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan.
“Muhyiddin mendesak agar PMX letak jawatan kerana faktor integriti. Apakah Muhyiddin layak bercakap soal integriti?
“Dia sendiri terpalit dengan dakwaan rasuah Dana Wibawa. Bahkan dia sepatutnya pujuk menantunya balik Malaysia untuk berdepan siasatan SPRM dan proses mahkamah.
“Jangan tunggu dapat balik jawatan Perdana Menteri barulah menantu balik Malaysia. Tidak ada anak anak bekas Perdana Menteri lari ke luar negara. Mana intergriti Muhyiddin?
“Dia masih obses mahu jadi PM tebuk atap,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Puad dalam pada itu turut sama mengimbau kembali pendedahan oleh bekas Ketua Polis Negara mengenai pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak yang ditanya berulang kali oleh Muhyiddin yang ketika itu sebagai Menteri Dalam Negeri.
Sementara itu kata beliau ia termasuk langkah terdesak Muhyiddin selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
“Kita masih ingat Tan Sri Fuzi bekas KPN mendedahkan di mahkamah. Pada tahun 2018, selepas PH ambil alih kuasa, tiga tokoh politik tertinggi negara termasuk Muhyiddin (Menteri KDN) bertanya berulang kali kenapa Najib lambat untuk didakwa?
“Tidakkah itu campur tangan?
“Di Nenggiri dia ungkit cerita lama. kenapa YDP Agong ke 16 tidak jemput dia ke Istana angkat sumpah?
“Walhal dia tidak cukup angka. 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang dia cuba curi buat pusingan U. Tanpa ‘Sheraton Move’ Muhyiddin tidak akan jadi PM ke-8. Sepatutnya dia letak jawatan kerana kalah teruk di Nenggiri dan Mahkota,” ujar beliau.
Sementara itu menerusi hantaran berbeza Puad turut sama mengkritik Muhyiddin yang enggan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kononnya kerana parti itu mengkhianati PPBM.
Sedangkan, kata Mohd Puad, PPBM lebih kuat mengkhianati rakan kongsi dan disebabkan itu tidak ada parti yang mahu berkawan dengan PPBM di Sabah. – UMNO Online