Bekerja Untuk Menang… UMNO Bahagian Tumpat Hasrat Tambah Cawangan Pemuda, Puteri

TUMPAT, 15 Julai – UMNO Bahagian Tumpat berhasrat untuk menambah dan memperkasa cawangan Pergerakan Pemuda serta Puteri sebagai salah satu usaha bagi mendapatkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kini bahagian tersebut mempunyai hanya 207 cawangan dan ia dilihat agak sukar untuk menyantuni lebih 170,000 pengundi.

“UMNO Bahagian Tumpat ada 207 cawangan. Perwakilan ke mesyuarat seramai 1,100 orang. Bilangan pengundi yang mutakhir adalah sebanyak 170,000 orang. Daripada 207 itu, Wanita UMNO ada 200 cawangan. Pergerakan Pemuda, 115 dan Puteri, 61 cawangan.

“Ahli UMNO di Tumpat ini adalah seramai 27,000 orang. Jadi, di kalangan perwakilan sekalian, kalau kita lihat jumlah tadi… semestinya kita yang berada dalam parti ini nak tengok UMNO/Barisan Nasional (BN) menang setiap kali PRU.

“Tetapi sedar atau tidak sedar dalam jumlah yang dibentangkan tadi, daripada 170,000 orang pengundi kalau kita bahagi 207 cawangan, bermakna setiap cawangan pengundinya lebih kurang 800 orang,” katanya.

Ujarnya, sayap muda di setiap cawangan perlu diperkasakan agar sokongan golongan tersebut akan kembali beralih kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Daripada jumlah lebih 800 pengundi di setiap cawangan itu, kalau kita ambil 70 peratus pengundi muda bawah 40 tahun, jumlahnya lebih kurang 600. Kalau kita nak bercakap tentang mencari kemenangan pada PRU akan datang, mampukah kita?

“Pada pandangan saya, kalau kita nak menang pilihan raya, dengan jumlah cawangan dan ahli UMNO yang ada sekarang ini terlampau jauh. Nawaitu dan kerja kita untuk mencari kemenangan ini agak sukar. Pengundi di setiap cawangan lebih kurang 600 orang, kalau kita tidak boleh bawak keluar Pemuda dan Puteri 15 orang setiap cawangan saya rasa tak perlu kita berangan-angan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru para perwakilan yang ada di sini pada hari ini, bahawasanya UMNO Tumpat berikrar untuk menang dan menambah cawangan ahli-ahli Pemuda serta Puteri. Selepas ini, kita jangan buang masa lagi. Perkasakan Pergerakan Pemuda dan Puteri di setiap cawangan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar semua perwakilan dan ahli UMNO Bahagian Tumpat bersama-sama berganding bahu serta bekerja di bawah satu pasukan dengan matlamat untuk menang.

“Di UMNO Bahagian Tumpat, alhamdulilah dengan kepimpinan yang ada… boleh dikatakan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Bahagian dari kalangan Pemuda ada lapan orang. Yakinlah, saya selaku Ketua UMNO Bahagian tiada istilah ‘nak bunuh dalam telur’.

“Saya nak lihat kesinambungan dalam parti supaya UMNO terus diperkasakan dan dengan Undi-18… kalau kita ‘berperang’ dengan Pemuda, sampai bila pun susah nak menang.

“Harapan saya kepada semua perwakilan UMNO Bahagian Tumpat, marilah kita bersama-sama berganding bahu, bekerja di bawah satu pasukan dengan matlamat untuk menang.

“Akhir sekali, bangkitlah. Jalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing yang diamanahkan oleh parti. Insya-Allah kita akan mencapai kemenangan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79