Bangkit Daripada Kekalahan, UMNO Perlu Jadi Arkitek Komunikasi Rakyat

PENDANG, 15 Julai – UMNO Bahagian Pendang perlu bangkit dengan semangat baharu daripada kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu melalui strategi-strategi yang digariskan, ujar Ketuanya Datuk Suraya Yaacob.

Kata Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia itu, kesatuan dan kestabilan dalaman serta keunggulan tadbir urus sama ada di peringkat bahagian mahupun cawangan antara elemen yang sangat penting.

“Peranan utama UMNO Bahagian adalah menjadi Arkitek Komunikasi kepada rakyat iaitu mengawal persepsi, mencipta harapan dan menyerlahkan kelemahan lawan secara konsisten.

“…jangan serang parti sendiri dan kepimpinan sendiri. Jangan ulang naratif lawan serta selalu bercakap baik tentang UMNO dan tawarkan solusi kepada rakyat,” katanya.

Suraya berkata demikian ketika menyampaikan kata-kata aluan di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pendang, di sini baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Sik Datuk Muhammad Khizri Abu Kassim selaku wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Muthalib Harun dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar Datuk Ruzaini Rais.

Turut hadir, bekas Ahli Parlimen dan mantan Ketua UMNO Bahagian Pendang Datuk Othman Abdul serta barisan kepimpinan parti dari negeri Pahang.

Dalam ucapannya, Suraya berkata kemenangan Perikatan Nasional (PN) di negeri-negeri ‘Rangkaian Orang Melayu’ atau ‘Malay Belt’ bukan kerana rekod tadbir baik tetapi kerana mereka berjaya mengawal emosi orang Melayu, membina identiti sebagai ‘pejuang Islam’ walau gagal mentadbir dan menawan pengundi muda dengan medium yang betul.

Seterusnya tambah Suraya, setiap ahli perlu pantas menangkis segala mainan persepsi dan berita palsu yang ditimbulkan pihak lawan dengan menampilkan naratif kebenaran.

“Kita boleh bantu rakyat siang malam, Tapi kalau musuh lebih pantas bercerita palsu dari kita yang bawa cerita benar, maka kebenaran akan kalah.

“Hari ini kita bukan lagi parti yang menunggu diserang. Kita adalah parti yang sedang membina kembali kekuatan. Dan kekuatan ini bermula dengan siapa mengawal cerita. Jangan biar lawan terus bercakap bagi pihak kita.

“UMNO perlu kembali memimpin bukan kerana sejarah tetapi kerana harapan,” katanya.

Terdahulu, Suraya merakamkan penghargaan kepada UMNO cawangan-cawangan serta perwakilan-perwakilan yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik kepada parti.

“Saya mengucapkan tahniah kepada cawangan di atas kejayaan bermesyuarat dengan baik dan tertib. 180 cawangan dengan keahlian Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai 8,814 orang dan DUN Sungai Tiang 14,870 dan keseluruhannya 23,689 ahli.

“Kita juga telah menambah ahli baru seramai 400 orang dan tidak mungkin UMNO Pendang dapat bertahan tanpa kepimpinan di peringkat cawangan-cawangan,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79