Ahmad Zahid Lawat Rotorua, Tumpu Perkongsian Ilmu Komuniti Maori Dan Industri Ternakan
AUCKLAND, 15 Julai – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meneruskan lawatan kerja lima hari di New Zealand dengan berkunjung ke Rotorua, sebuah bandar pelancongan budaya dan geoterma yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari bandar Auckland.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijadual menghadiri Sesi Meja Bulat bersama perniagaan komuniti Maori pada sebelah pagi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang sosial dan pembangunan komuniti.
Beliau bersama delegasi turut dijadual melawat perkampungan budaya Whakarewa Living Maori Village, sebelum menikmati makan tengah hari Geothermall Hangi satu pengalaman kulinari tradisional masyarakat Maori yang memanfaatkan haba geoterma untuk memasak makanan.
Sebelum menamatkan lawatan di Rotorua, Ahmad Zahid akan melawat Onuku Farm, sebuah ladang ternokon biri-biri dan tenusu bagi meninjau amalan terbaik dalam industri pertanian dan terakan yang boleh dicontohi serta diadaptasi di Malaysia.
Pada 16 Julai, beliau akan melawat Wellington, dengan mengadakan sesi pertemuan bersama beberapa pemimpin kanan kerajaan New Zealand.
Antara pertemuan yang dijadualkan termasuk dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peraturan dan Undang-Undang David Seymour, Menteri Luar Winston Peters, Menteri Pembangunan Maori Tama Potaka serta Menteri Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan Todd McClay.
Ahmad Zahid akan mengetuai penyertaan Malaysia dalam Forum Halal anjuran bersama Majlis Pembangunan Industri Halal (MPH) dan Kementerian Industri Utama New Zealand sebagai platform memperkukuh kerjasama dalam sektor halal dan eksport makanan.
Selain itu, beliau dijadual menyaksikan pemeteraian dokumen persefahaman antara kerajaan kedua-dua negara dalam bidang pendidikan tinggi sebagai langkah memperluas peluang pelajar tajaan agensi Malaysia ke negara itu.
Pada Khamis pula Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro serta menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama komuniti Malaysia di Wellington yang dijangka menghimpunkan lebih 250 rakyat Malaysia yang menetap di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri dijangka menamatkan lawatan kerjanya dan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada Jumaat. – BERNAMA