UMNO Main Peranan Pembinaan Negara – Mahdzir Khalid
PENGERANG, 14 Julai – Kesederhanaan perjuangan UMNO yang tidak berpaksikan kepada ekstremis membolehkan parti itu bukan sahaja kekal ke hari ini malah memainkan peranan penting dalam pembinaan negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata UMNO yang lahir di Johor pada 11 Mei 1946 merupakan detik bersejarah permulaan perjuangan orang Melayu yang kini sudah melebihi 79 tahun.
Menurut beliau antara sumbangan terpenting UMNO adalah merangka dan mengemukakan Perlembagaan Persekutuan sebelum kemerdekaan, yang sehingga hari ini menjadi asas negara Malaysia.
“Dalam perlembagaan tersebut terkandung empat perkara utama berkaitan kedudukan orang Melayu iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, dengan kebebasan beragama untuk semua rakyat Malaysia, keduanya Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Ketiganya Hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta Kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu. Apa yang penting, semua bangsa pada ketika itu bersetuju dengan perlembagaan tersebut dan satu bukti penyatuan dan kesefahaman antara kaum serta kesederhanaan UMNO dalam perjuangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketuka berucap merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Pengerang, di sini semalam.
Turut serta Ketua UMNO bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan pimpinan yang lain serta perwakilan.
Kata beliau lagi walaupun ada suara hari ini yang mempertikaikannya, rmereka sebenarnya tidak benar-benar memahami asas dan roh perlembagaan tersebut.
Mahdzir seterusnya menambah perjuangan UMNO selama 79 tahun cukup panjang dan tentunya dalam tempoh yang panjang itu, banyak perkara dalam masyarakat turut berubah.
“Masyarakat itu sendiri berubah apatah lagi teknologi juga berubah. Kalau dahulu kita ambil contoh keputusan kemasukan ke universiti ianya dihantar melalui posmen, namun hari ini semuanya dalam talian.
“Begitu juga kalau dahulu ke bank untuk memindahkan wang, kini hanya imbas QR Code dan penggunaan transaksi online. Begitu jugalah dengan maklumat ianya sampai dengan sangat pantas, lebih-lebih lagi dalam politik.
“Dalam dunia politik moden, akan ada tiga jenis maklumat cerita benar, separuh benar dan paling berat adalah cerita fitnah. Kita semua masih ingat bagaimana fitnah politik bermula dengan serangan terhadap Bossku, Datuk Seri Najib Tun Razak.”
Ujarnya, ketika itu, Tun Dr Mahathir yang memulakan serangan, dan akhirnya membawa kepada kekalahan UMNO dalam PRU 2018 serta perubahan kerajaan.
“Fitnah itu tidak berhenti. Ia datang satu persatu. Selepas Najib, kini Datuk Seri Ahmad Zahid pula menjadi sasaran. Walaupun isu yang timbul boleh diselesaikan, tetapi serangan yang berterusan akan menimbulkan keraguan rakyat,” ujarnya.
Oleh itu, tambah Mahdzir melalui mesyuarat seperti hari ini dan perbincangan di semua peringkat, semua pihak harus tampil dengan solusi.
“Fitnah ini jika tidak dibendung akan membawa kerosakan. Rakyat perlu diberi pencerahan yang betul, bukan dibiarkan hanyut dengan persepsi palsu.
“Kita kini bersiap sedia menuju pilihan raya akan datang. Matlamat kita adalah satu mencapai kemenangan. Usaha ini perlu digandakan di semua peringkat, dari akar umbi hinggalah ke peringkat tertinggi,” tambahnya. – UMNO Online