Puteri UMNO Sambut Baik Pengesahan Adendum, Harap Najib Jalani Hukuman Di Rumah

KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025 – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menyambut baik pengesahan berhubung kewujudan dokumen adendum yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 seperti yang disahkan oleh Peguam Negara baru-baru ini.

Dalam kenyataan medianya, Puteri UMNO menyatakan bahawa pelaksanaan titah berkenaan tidak perlu lagi dilengahkan bagi memastikan keadilan diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut kenyataan itu, Puteri UMNO memetik maksud keadilan dalam undang-undang yang menyebut bahawa “keadilan yang tertunda adalah keadilan yang dinafikan.”

Tambahnya, permohonan rayuan penahanan rumah oleh Najib juga telah dibuat mengikut lunas undang-undang yang sewajarnya.

Dengan ini, Puteri UMNO turut menegaskan pendirian mereka dalam menjunjung tinggi institusi Diraja serta perlembagaan dan kuasa-kuasa yang termaktub di bawahnya.

“Puteri berharap agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan bagi menghormati segala proses dan berharap supaya Dato’ Seri Najib Razak meneruskan penahanan beliau di rumah,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu, pada Rabu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa pihaknya tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79