Kerajaan Johor Perhebat Usaha Pastikan Tiada Rakyat Terpinggir Miliki Rumah Sendiri
KULAI, 14 Julai – Kerajaan Negeri Johor terus komited memastikan setiap rakyat negeri ini tidak terpinggir dalam mendapatkan kediaman yang selamat, selesa dan mampu dimiliki.
Terbaharu, usaha ini diperhebat menerusi Program Taklimat Rumah Prihatin Johor (RPJ) dan Rumah Kasih Johor (RKJ) yang diadakan di Dewan Raya Putra, Bandar Putra Kulai, khusus untuk warga DUN Bukit Permai, semalam.
Program anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Pusat Khidmat DUN Bukit Permai, Pejabat Daerah Kulai dan Majlis Perbandaran Kulai itu dihadiri Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, serta menarik kehadiran lebih 600 peserta daripada pelbagai latar belakang.
Mohd Jafni menegaskan bahawa keutamaan Kerajaan Negeri Johor adalah memastikan tidak ada rakyat yang terpinggir daripada peluang memiliki rumah.
“Kita bukan sahaja membina rumah, tetapi membina masa depan yang lebih sejahtera untuk seluruh keluarga Bangsa Johor,” katanya.
Jelasnya, taklimat tersebut memberi penerangan terperinci berkenaan dua inisiatif utama perumahan rakyat negeri ini iaitu RPJ dan RKJ yang menyasarkan golongan B40 serta miskin tegar.
“Bagi RPJ, pemohon yang tidak tersenarai dalam sistem eKasih dan berpendapatan isi rumah di bawah RM6,000 layak memohon. Kerajaan Negeri Johor memberi subsidi sebanyak RM30,000 manakala kos pembinaan rumah adalah antara RM66,000 hingga RM86,000. Sebanyak 500 unit disasarkan untuk dibina, dan Fasa Pertama melibatkan 20 unit di DUN Machap dan DUN Bukit Permai dengan jumlah subsidi keseluruhan sebanyak RM15 juta bagi 500 unit.
“Manakala untuk RKJ, program ini dikhususkan kepada pemohon yang tersenarai dalam sistem eKasih dengan pendapatan per kapita di bawah RM850 mengikut kadar PGK. Rumah ini disediakan secara percuma oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Sasaran pembinaan tahun 2025 adalah sebanyak 165 unit di seluruh negeri.”
Ujar Mohd Jafni, inisiatif ini merupakan manifestasi kepada komitmen tinggi kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menjayakan agenda ‘Maju Johor’ iaitu satu pendekatan holistik yang mementingkan kesejahteraan rakyat melalui dasar dan pelaksanaan program bersasar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya pasukan PKPJ, pentadbir daerah dan para pemimpin akar umbi yang sentiasa mendekatkan kerajaan dengan rakyat.
“Insya-Allah, usaha ini akan terus kita perhebatkan ke seluruh pelusuk Johor agar lebih ramai rakyat dapat mengecapi sinar harapan untuk memiliki rumah pertama mereka,” tambahnya lagi. – UMNO Online