Ahmad Zahid Mula Lawatan Kerja Ke New Zealand, Perkukuh Hubungan Dua Hala

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memulakan lawatan kerja beliau ke New Zealand.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata lawatan kerja ini merupakan kesinambungan usaha strategik Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala bersama New Zealand yang telah terjalin sejak 1957.

“Hari ini bermula secara rasmi lawatan kerja saya selama lima hari ke New Zealand, dari 14 hingga 18 Julai 2025.

“Ia juga mencerminkan komitmen bersama dalam meneruskan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara.

“Saya berharap siri lawatan ini akan memperkukuh lagi hubungan diplomatik sedia ada, memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai sektor, dan mempromosi kepentingan nasional Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid dalam pada itu percaya misi ini akan membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

Ketibaan beliau di Auckland disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki; Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Asia dan Amerika, Grahame Morton, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (MFAT) New Zealand, Joanna Kempkers Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Selatan dan Asia Tenggara MFAT serta delegasi Exco Luar Bandar dari negeri Selangor, Pahang, Johor dan Melaka. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79