UMNO Parti Solusi, Selesaikan Masalah Rakyat – Azalina
PENGERANG, 13 Julai – Tanpa akar, pokok tidak akan mampu berdiri tegak dan begitu jugalah dengan UMNO bahagian Pengerang yang terus konsisten dengan kekuatan di akar umbi, kata Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO seterusnya berkata kekuatan akar umbilah yang membolehkan UMNO Pengerang terus bergerak dan seterusnya berkhidmat sebaiknya untuk masyarakat setempat.
“UMNO hari ini bukan parti sejarah walaupun usianya sudah mencecah 79 tahun sebaliknya parti berkenaan adalah parti solusi… parti yang menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.
“Sebagai salah seorang Menteri Kabinet, saya bersyukur kerana di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan, banyak isu rakyat berjaya diselesaikan. Menteri-menteri UMNO lain di dalam kerajaan juga menunjukkan prestasi cemerlang dalam memberi khidmat kepada rakyat.
“Di Pengerang, kita lihat bukti nyata bagaimana pembangunan dibawa melalui inisiatif UMNO. Antara projek besar yang telah dan sedang dijalankan termasuk di kawasan Desaru seperti projek Desaru Coast dan pelbagai lagi inisiatif pelancongan yang memberi impak langsung kepada ekonomi tempatan.
“Alhamdulillah, Perdana Menteri juga telah bersetuju meluluskan pembinaan sebuah hospital baharu untuk kegunaan masyarakat di Pengerang dan kawasan sekitarnya, termasuk Kota Tinggi. Ini adalah satu keperluan yang lama dinantikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Pengerang yang disempurnakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Turut serta pimpinan bahagian dan perwakilan lain.
Azalina seterusnya menambah dalam usaha membangunkan pelbagai pembangunan dan tumpuan kebajikan kepada masyarakat setempat, terdapat pihak tertentu yang melontarkan pelbagai fitnah.
“Dalam kita berusaha membangunkan kawasan di Pengerang ini, pihak lawan terus memainkan isu tidak benar dan menyebarkan fitnah. Kita harus sedar zaman berubah.
“Kita tidak lagi boleh bergantung kepada nostalgia atau cerita lama tentang kelahiran parti ini di Johor dan sebagainya. Rakyat hari ini mahukan hasil, bukan sejarah semata-mata. Oleh itu fitnah lawan mesti ditangkis.
“Antara strategi penting ialah memperkukuhkan gerak kerja akar umbi serta menguasai platform media sosial secara menyeluruh. Ceramah dan program lapangan tetap penting, tetapi kehadiran digital kini menjadi senjata utama dalam memenangi hati dan minda rakyat, khususnya generasi muda,” ujarnya. – UMNO Online