UMNO Cawangan Tiang Seri Perjuangan Parti, Kekal Teguh – Aminuddin
JITRA, 13 Julai – Akar umbi yang diterajui Ketua-ketua UMNO Cawangan adalah tiang seri kepada perjuangan parti dan kekal teguh setia sehingga kini, ujar Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu Datuk Aminuddin Omar.
Katanya, walau dalam apa jua keadaan sama ada ketika senang atau susah, mereka tetap setia mempertahankan parti tanpa sedikit pun mengalah bahkan terus menggerakkan Cawangan dengan penuh tanggungjawab.
“Saya merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ketua UMNO Cawangan yang kekal setia, berdiri bersama-sama parti walaupun dalam gelombang sebesar mana sekalipun.
“Ketua Cawangan tiang seri kepada kekuatan UMNO bagi peringkat akar umbi. Tidak terpengaruh dengan tawaran dan tekanan, tidak melatah apabila diasak dan tidak goyah bila diuji. Malah terus membakar semangat ahli di bawah menggerakkan Cawangan-cawangan dengan penuh tanggungjawab dan beristiqamah.
“Ketua UMNO Cawangan bukan sekadar penyelaras program, mereka adalah pejuang barisan hadapan di medan sebenar. Kita berdiri teguh hari ini kerana kepimpinan di peringkat Cawangan yang tidak pernah undur,” katanya di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu di Dewan Seri Perdana di sini, pada Sabtu.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Hasmuni Hassan, Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena Datuk Said Ali Syed Rastan selaku wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Ketua UMNO Bahagian Jerlun Datuk Othman Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah Datuk Muthalib Harun.
Selanjutnya, Aminuddin menyeru kepada semua perwakilan agar dapat mencontohi kecekalan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memperjuangkan serta mempertahankan parti.
Jelas Aminuddin, walau dihimpit pendakwaan terpilih dan didesak bubarkan parti, Ahmad Zahid tetap tidak mengalah dengan tekanan dan ugutan, bahkan terus memimpin parti sehingga kekal ke hari ini.
“Inilah contoh pemimpin yang sanggup mempertahankan parti bukan kerana jawatan tetapi tetap dengan prinsip dan kesetiaan kepada perjuangan. Bukan jenis orang yang bila dijanji jawatan, terus isi borang secara ‘online’.
“Tetapi Presiden tetap mempertahankan parti – sebuah parti yang begitu banyak jasa kepada orang Melayu khususnya, tanah air. Presiden tidak goyah dengan segala ugutan, tetap istiqamah dalam mempertahankan parti ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE