Agenda UMNO Mengupayakan Orang Melayu, Komunikasi Parti Perlu Diperkukuh

PULAU PINANG, 13 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain berpegang teguh kepada prinsip dan idealogi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, UMNO sentiasa segar dalam agenda mengupayakan orang Melayu.

Ini juga katanya selaras dengan hasrat Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu orang Melayu khususnya anak-anak muda tidak tercicir dan tersisih dalam arus kemajuan dan kemodenan kini, dengan mengupayakan generasi itu khususnya kemahiran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Perjuangan kita sekarang mesti bergerak berasaskan agenda dan juga isu (rakyat). Kita mesti jelas apa yang ingin kita laksanakan, apa perancangan yang meyakinkan. Hari ini parti kita bercakap soal bagaimana hendak mengupayakan orang Melayu supaya orang Melayu dapat mengambil manfaat daripada segala kemajuan yang sedang dilalui oleh negara.

“Kita mengupayakan orang Melayu melalui pendidikan, kemahiran, pembukaan ruang dan peluang ekonomi. Agenda Bumiputera tetap menjadi agenda kerajaan kerana UMNO berada dalam kerajaan,” kata Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru di Hotel Pen Mutiara di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Syah, Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru Datuk Ir Mansor Musa dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Jelas Mohamed Khaled lagi, keutamaan itu kini adalah satu perkara yang membezakan UMNO dengan lain-lain parti Melayu di negara ini.

Tambah Mohamed Khaled, segala usaha parti dalam agenda mengupayakan orang Melayu perlu disebarluaskan dan sampai kepada ke pengetahuan rakyat dengan memperkukuhkan komunikasi.

“Setiap daripada kita adalah unit komunikasi, saluran penyampaian maklumat kepada rakyat. Banyak perkara telah kita lakukan. Kalau tidak sampaikan, rakyat tak nampak.

“Kita kena beritahu bahawa pengupayaan ini sangat penting supaya orang Melayu berjaya bersaing dengan kaum-kaum yang lain dalam kemajuan yang terus berlaku dalam negara,” kata Ahli Parlimen Kota Tinggi itu lagi.

Oleh kerana itulah ujarnya UMNO perlu menguasai media sosial agar pengalaman ketika berdepan dengan pilihan raya lalu tidak berulang kembali.

“Jika UMNO tidak menguasai media sosial kita akan tewas. Betapa bagus pun usaha kita buat, jika tidak gunakannya (media sosial) kita akan kalah.

“Sebelum kejatuhan kita, semua yang kita buat betul tetapi kita gagal untuk menyampaikan dan menyebarkan kerana komunikasi berubah daripada medium tradisional kepada medium baharu,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79