Semangat Berpasukan ‘Ramuan’ UMNO Kota Melaka – Abdul Razak
KOTA MELAKA, 12 Julai – UMNO Kota Melaka yakin dua kerusi yang diwakili parti di sini (Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan Telok Mas) mampu menjadi penyumbang penting dalam pembentukan kerajaan negeri kelak.
Ketuanya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata dengan gerak kerja yang konsisten dan terancang, UMNO Kota Melaka tidak pernah ketinggalan dalam menyumbang kepada kekuatan parti.
“UMNO Kota Melaka akan terus bekerja dalam satu pasukan…. Hari ini Mesyuarat Wanita UMNO Kota Melaka dan kita percaya masing-masing akan terus bekerja keras.
“Dalam politik berbalas pantun itu biasa, namun kerja kuat dan gerak kerja kami tidak boleh dinafikan. Tiada sebarang masalah yang mampu melemahkan parti jika kita bergerak dalam satu pasukan yang utuh… Wanita, Pemuda, Puteri, dan bahagian… semua berganding bahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Wanita UMNO Kota Melaka, di sini petang semalam yang disempurnakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hasan. Turut serta Ketua Wanita UMNO bahagian, Datuk Haryaty Hamdzah.
Abdul Razak seterusnya menambah apa yang mereka laksanakan di bahagian berkenaan berpaksikan semangat kekeluargaan.
“Apa yang kami lakukan di Kota Melaka adalah berdasarkan semangat perbincangan kekeluargaan. Kami jaga silaturahim sesama kita. Apabila hubungan sesama ahli dijaga dengan baik, segala perkara besar atau kecil dapat diselesaikan dengan harmoni dan matang.
“UMNO Kota Melaka akan terus bergerak ke hadapan, dengan tekad untuk memperkukuhkan parti dan membawa suara rakyat ke tempat yang sepatutnya,” ujarnya. – UMNO Online