Resepi Untuk Menang: Pelihara Perpaduan, Setia Kepada Parti – Mohamed Khaled
DUNGUN, 12 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beranggapan bahawa memelihara perpaduan dan menunjukkan kesetiaan kepada parti menjadi antara resepi utama untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, soal dalaman turut perlu diangkat secara bersama agar kesatuan di kalangan akar umbi sentiasa diperkukuhkan.
“Jika kita ingin pastikan dalam menyedari tiada pilihan dan berpegang kepada matlamat untuk menang… walaupun ada fokus perlu dilakukan, jangan lupa kita juga perlu tumpu soal dalaman yang mesti diangkat secara bersama.
“Kita perlu memelihara perpaduan dan terus tunjukkan kesetiaan kepada parti. Kalau dua perkara ini tidak wujud, soal menang itu hanya satu laungan yang akan ‘berterabur di langit’. Bina keakraban, persahabatan dan sifat setiakawan kita. Dari semasa ke semasa saya percaya, para pemimpin atasan akan datang untuk bangunkan perpaduan, kerjasama dan kesepaduan supaya matlamat ini dapat kita jayakan.
“Pada masa yang sama kita faham bahawa UMNO ini merupakan parti perjuangan. Atas sebab itu kita setia dan terus berada dalam UMNO walaupun diuji dengan kekalahan. Walaupun ada banyak parti Melayu lain, tetapi kita terus setia dan kekal. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana kesetiaan inilah UMNO masih kekal dan utuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Dungun, di sini, sebentar tadi.
Jelasnya, ahli dan akar umbi di dalam parti sentiasa berpegang kepada prinsip untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.
“Parti kita parti perjuangan. Kita berada dalam dalam UMNO bukan hanya apabila berkuasa, tetapi ketika kalah, kita tetap ada. Kita tidak lari sebab ini parti perjuangan. Kehadiran UMNO kerana sayangnya kita kepada agama, bangsa dan tanah air. Kita juga ingin berkhidmat dan berbakti inilah yang menjadi tali pengikat.
“Kita berada di sini jayakan persidangan ini yang untuk kita kenali dan memahami bahawa parti kita adalah sebuah perjuangan. Kita tak berkuasa dan sedang sakit. Sebagai orang perjuangan, tanggungjawab kita untuk pulihkan parti. Itu peranan kita. Saya ucapkan tahniah kepada UMNO Bahagian Dungun. Gerak kerja kita kena mula daripada sekarang.
“Dalam soal ini apabila diperkatakan bahawa perlu rakyat faham perjuangan kita, memang tidak ada sesiapa menafikan, tetapi ia tidak cukup. Kita hanya sentuh perkara tersebut kerana lawan kita adalah parti yang juga cakap mereka memperjuangkan perkara sama. Atas sebab itu, hari ini kita tidak lagi boleh bercakap soal ideologi. Mungkin ia boleh terpakai kepada ahli-ahli kita. Tetapi ahli kita tidak cukup untuk yakinkan pengundi yang lebih ramai daripada ahli UMNO. Lebih-lebih lagi soal kebangsaan Melayu yang mungkin relevan untuk halau penjajah,” katanya lagi.
Di samping itu, beliau turut menyeru ahli dan akar umbi untuk memanfaatkan media sosial sebagai medium komunikasi kepada para pengundi.
“Rakyat hanya akan dapat manfaat jika kita bangunkan peluang. Kita mesti bangunkan peluang dan upayakan rakyat. Saya berharap di peringkat negeri akan mula melakar manifesto. Maka di setiap bahagian mesti mulakan rencana yang jelas dan menyakinkan, bukan sesuatu yang susah nak dicapai.
“Kita tahu Kerajaan Negeri Terengganu ada kelemahan. Namun jika ia hanya berlegar di kalangan kita, kita tetap tidak boleh menang. Kita juga ada media sosial yang boleh jangkau rakyat untuk faham agenda kita. Kita tidak boleh lari dari hakikat, mesti gunakan medium baharu dalam berkomunikasi. Kalau tidak, ramai yang mendapat informasi ini.
“Selain daripada mempunyai agenda, gerakan kita juga mesti berlandaskan kepada isu. Usaha UMNO Bahagian untuk memberi penerangan dalam memastikan sokongan dan penyertaan orang muda dalam UMNO perlu dijalankan. Benar, jika UMNO ingin hidup beratus tahun akan datang, kita perlu pastikan orang muda sertai kita,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa UMNO juga perlu menyediakan pemimpin masa hadapan untuk menggamit idea baharu dan cara kerja yang lebih dinamik.
“Kedua, UMNO mesti sediakan pemimpin masa hadapan utk bangsa dan negara. Kita nak pemimpin akan datang, datangnya daripada UMNO, bukan parti lain. Kita perlu idea yang barhau, cara bekerja lebih dinamik dan bergerak berteraskan teknologi. Pendekatan kita mesti kontemporari.
“Jika kita tidak lakukan ini, UMNO mungkin akan hilang dari persada politik. Sama-sama kita ambil tanggungjawab, fikir dan pastikan supaya dapat tarik lebih ramai anak-anak muda melalui UMNO supaya mereka jadi pemimpin masa hadapan negara.
“Insya-Allah bukan sahaja UMNO akan kuat dan terus kukuh di Dungun, malah akan sumbang kerusi untuk bolehkan parti ini menubuhkan kerajaan diperingkat negeri dan pusat,” katanya lagi. – UMNO Online