Ketepikan Soal Titik Bengik, Fokus Perkuat Kesatuan – Ahmad Zahid

TUMPAT, 12 Julai – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh kepimpinan dan akar umbi untuk mengenepikan soal titik bengik serta memberi fokus bagi memperkuatkan kesatuan di kalangan ahli.

Ujarnya, UMNO optimis untuk menebus semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Allah sudah mentakdirkan kita berada di wadah yang sama, atas nama Kerajaan Madani. Tumpat ini kawasan ‘hitam’ tetapi Insya-Allah dengan pertolongan rakan-rakan, empat kerusi di Tumpat akan kita tebus semula.

“Prasyaratnya, kita mesti ketepikan soal-soal titik bengik di kalangan kita. Ketepikan soal suka atau tidak apabila pemimpin telah dipilih. Dalam jiwa saya ini… apabila Allah beri amanah untuk menjaga parti, itulah yang saya pegang. Apa pun keadaan, satukanlah semula pelbagai kelompok UMNO Bahagian Tumpat untuk pastikan kerusi-kerusi ini dapat kita rampas semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tumpat, pada Jumaat.

Jelasnya, kesatuan yang kukuh di antara ahli dan akar umbi boleh dijadikan wadah untuk menyerang musuh-musuh politik.

“Perikatan Nasional (PN) menang bukan sebab mereka kuat. Tetapi sebab kita lemah. Apa yang berlaku kepada UMNO… cukuplah. Kita boleh hadapi kalau jadikan penyatuan sebagai wadah untuk serang musuh-musuh politik kita. Kini, kita ada rakan-rakan baharu.

“Ketika kita kecundang di Perak, kita hanya ada sembilan kerusi DUN. Pakatan Harapan (PH) pula ada 24. Ikut hukum akal, merekalah yang sepatutnya jadi Menteri Besar. Disebabkan keikhlasan, mereka jadikan yang sembilan itu sebagai Menteri Besar… yang 24 tu sokong Datuk Seri Saarani. Inilah keikhlasan. Kemudian apabila berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, kita turunkan bala tentera dari seluruh negara.

“Inilah yang dipanggil kolaborasi politik. Tak mustahil di Tumpat ini, kalau kita bina kekuatan dalaman, kita akan dapat semula kerusi yang kita pegang dulu. Kalau rasa tidak puas hati berbuku dan menguasai minda, kita tidak akan rasional dalam buat keputusan. Saya minta ketepikan sebarang masalah jika ada,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihati semua pihak untuk menggunakan kuasa sebaiknya bagi menyantuni rakyat khususnya yang tidak berparti.

“Apabila diberi kuasa, gunakanlah ia untuk kepentingan rakyat dan kena jaga parti. Kita naik kerana parti… parti naik kerana sokongan rakyat. Kita harus menyantuni mereka yang bukan ahli parti untuk memberi sokongan kepada kita. Ertinya kita kena santuni pemikiran fitrah dan hati nurani.

“Cukuplah zaman bernostalgia. Benar kita memerintah selama 62 tahun. Anak-anak muda tidak mahu dengar lagi apa yang dah kita pernah buat dulu. Tetapi mereka tetap bandingkan pentadbiran kita selama 62 tahun. Kita mempunyai trek rekod yang baik.

“Insya-Allah, bersama-sama kita pertahankan kerajaan yang ada ini sehingga PRU ke-16, dan lakukan dengan lebih baik. Turun ke bawah santuni rakan-rakan akar umbi. Semua harus bergerak atas satu landasan untuk kembalikan maruah UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79