‘Ingat Peristiwa 2018’ … Pesan Tok Mat Kepada Jentera UMNO

KOTA MELAKA, 12 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan seluruh ahli parti untuk terus bergerak ke depan agar parti terus mencapai kejayaan.

Berucap pada majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka hari ini, beliau seterusnya menegaskan bahawa untuk mengekalkan kejayaan adalah satu perkara yang sukar dan memerlukan kerja kuat antara satu sama lain.

“Ingat peristiwa 2018… apabila dah kalah kita tidak ada kemampuan maka jangan kita kalah lagi… tanamlah hakikat ini baik-baik agar kita tidak terjerumus sekali lagi.

“Di Melaka ini walaupun kita menang dengan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu perlu kita ingat musim tidak selalunya baik. Kita sentiasa ingatkan diri kita untuk terus bekerja dan tidak leka dengan kejayaan lalu,” katanya.

Turut hadir pada perasmian mesyuarat berkenaan Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Wanita, Datuk Haryaty Hamdzah serta pimpinan UMNO yang lain.

Mohamad seterusnya menambah kemenangan sebelum ini bukanlah jaminan kejayaan esok, jika masing-masing tidak terus bekerja, menyusun strategi dan mendengar suara akar umbi.

“Dalam era maklumat yang bergerak sepantas TikTok, persepsi rakyat dibentuk dalam sekelip mata. Angka bukan sekadar statistik tetapi ianya membawa seribu satu makna.

“Setiap undi, setiap kerusi, mencerminkan kerja buat kita. Oleh itu, uruslah angka dengan bijaksana. Jangan hanya pandai membaca kemenangan, tetapi gagal mentafsir isyarat amaran.

“Kita lihat sendiri, ada negeri yang kita menangi dalam PRN, tetapi tewas dalam PRU. Kenapa…sama-sama kita kaji.”

Tegasnya, jika benar-benar ingin menang, maka semua pihak bertindaklah seperti orang yang mahu menang.

“ Di Kota Melaka kita telah buktikan kemampuan. Tapi percayalah mengurus kejayaan itu satu tanggungjawab besar.

“Nak kekalkan kemenangan, bukan kerja mudah. Ia memerlukan disiplin, kesetiaan, keikhlasan dan gerak kerja berterusan,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79