UMNO Syukur Titah Addendum Disahkan, Rayu Pelaksanaan Penahanan Rumah Najib

KUALA LUMPUR, 11 Julai – UMNO merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas pengesahan kewujudan Titah Addendum oleh Peguam Negara semalam, yang memperakui arahan bagi pelaksanaan penahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkembangan tersebut mengesahkan kewujudan titah berkaitan tahanan rumah yang dikeluarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“UMNO merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Tuanku berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, UMNO berharap agar limpah kurnia Seri Paduka Baginda akan membolehkan Dato’ Sri Najib menerima keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu.

Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam memberi pengampunan dan keringanan hukuman bagi kes-kes jenayah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79