UMNO Komited Selesaikan Isu Rakyat Felda Bukit Aping Timur – Khaled Nordin

KOTA TINGGI, 11 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan komitmen parti dalam memahami dan menyelesaikan permasalahan rakyat, khususnya di kawasan Felda Bukit Aping Timur.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikian ketika menghadiri Program Santai Bersama Komuniti yang berlangsung di kawasan tersebut semalam.

“Program ini cukup penting dan bermakna kerana bukan sahaja saya dapat menyantuni masyarakat, malah saya juga berpeluang memahami isu serta cabaran yang dihadapi mereka,” katanya.

Ujarnya, antara perkara utama yang dibangkitkan oleh Ketua Kampung di sini ialah isu perumahan dan tanah lot generasi kedua serta hak milik tanah.

Jelas Khaled, beliau sedar bahawa penyelesaian isu tersebut memerlukan masa dan kesabaran, namun menegaskan bahawa kefahaman masyarakat serta kesediaan untuk duduk semeja bersama pihak berautoriti adalah kunci ke arah penyelesaian menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi berita gembira berkaitan projek Hospital Pengajar di Sedili yang disifatkannya sebagai pemangkin kemajuan untuk penduduk Kota Tinggi.

 

“Saya percaya, apabila Johor semakin hampir menjadi kuasa ekonomi penting negara, masyarakat di Kota Tinggi tidak akan tercicir daripada arus pembangunan ini. Mereka bakal menerima limpahan ekonomi hasil pelaksanaan projek-projek besar seperti ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan, UMNO akan terus menjadi suara rakyat dan memastikan keperluan masyarakat diberi perhatian sewajarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79