UMNO Lahad Datu Seru Transformasi Pemikiran Rakyat, PRN-17 Detik Penentu Arah Sabah

LAHAD DATU, 10 Julai – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyeru masyarakat khususnya di kawasan Lahad Datu agar melakukan anjakan pemikiran dan tidak terperangkap dengan janji-janji politik kosong menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni jentera daripada DUN Kunak, DUN Tungku, DUN Segama, dan DUN Silam yang turut bersama Pasukan Nukleus UMNO Terengganu dalam program pengukuhan jentera parti, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, masyarakat Rumpun Melayu Lahad Datu sudah mula menunjukkan perubahan. Namun, perubahan yang hakiki menuntut gerak kerja yang tersusun dan transformasi pemikiran yang sesuai dengan perubahan zaman,” katanya.

Menurut beliau, UMNO konsisten menjaga kebajikan masyarakat bandar dan luar bandar termasuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang tertekan dengan beban ekonomi.

“Gendang PRN Sabah telah berbunyi. Pasti banyak parti akan tampil dengan pelbagai janji dan manifesto, namun kita harus menilai sejauh mana janji lama telah ditunaikan sebelum menerima janji baharu. PRU14, PRN15, PRN16 maka di mana hasilnya untuk rakyat?” soalnya.

Sharif Musa turut menyelar pendekatan politik yang digelarnya sebagai “seni politik Machiavelli” yang menurutnya hanya berlandaskan kuasa, bukan nilai dan keikhlasan membela rakyat.

Beliau mengingatkan rakyat agar tidak tersasar dalam membuat pilihan, dan menilai prestasi parti berdasarkan rekod perkhidmatan.

“UMNO yang memimpin selama lebih enam dekad telah melakukan sehabis baik dalam kudrat manusiawi yang ada. Sebagai contoh, dalam Akujanji Barisan Nasional pada PRU-13, sebanyak 17 inisiatif utama dan 156 inisiatif strategik telah tertunai sepenuhnya sebelum pentadbiran beralih tangan pada 2018. Hanya beberapa projek mega seperti Pan Borneo yang tergendala akibat kejatuhan kerajaan ketika itu,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa PRN-17 adalah detik penentu buat rakyat Sabah untuk mengembalikan kompas halatuju negeri agar tidak terus hanyut dalam dakyah politik yang tidak berasas.

“Kita terus merafak harapan kepada Allah agar rakyat Sabah diberi petunjuk dan kekuatan untuk memilih yang benar-benar memperjuangkan nasib mereka, bukan yang hanya menabur janji,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79