Terima Kasih TPM Ahmad Zahid, Permohonan Naik Taraf Rumah Di Putatan Diluluskan

PUTATAN, 10 Julai – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana meluluskan permohonan membaik pulih dan membina semula rumah-rumah rakyat di kawasan Putatan.

Jeffery berkata, kelulusan ini amat bermakna khususnya buat penduduk yang tinggal di kampung-kampung seperti Kampung Sri Pandan, Kampung Ketiau dan Kampung Lok Kawi Baru yang bakal menerima manfaat secara langsung.

“Rata-rata penerima mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT dan menyampaikan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada TPM Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas keprihatinan beliau meluluskan permohonan ini.

“Bantuan ini benar-benar memberi sinar harapan kepada mereka,” katanya selepas turun padang menziarahi rumah-rumah yang bakal dibaik pulih dan dibina semula di sini baru-baru ini.

Dalam lawatan yang lain, beliau turut menyantuni sebuah keluarga di Kampung Sekambu, Petagas, yang sedang diuji apabila dua anak mereka sedang menerima rawatan kesihatan.

Beliau menzahirkan rasa simpati dan mendoakan agar keluarga tersebut terus tabah dan diberi kekuatan.

Selain itu, Jeffery juga memenuhi jemputan para guru di Tadika JAHEINS Kem Lok Kawi, yang penuh dengan kenangan buat keluarganya.

Beliau berkongsi kegusaran tentang keadaan prasarana tadika tersebut terutama isu bekalan air dan bertekad untuk membantu semampu mungkin agar anak-anak kecil dapat belajar dalam suasana yang lebih baik dan selesa.

“Banyak yang sudah uzur tetapi masih boleh digunakan. Namun, masalah utama yang dihadapi oleh tadika ini ialah sumber air. Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya membantu apa yang termampu agar pihak tadika mendapat kemudahan yang terbaik demi memastikan anak-anak dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan kondusif.”

Dalam perkembangan yang lain, Jeffery turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada para ibu bapa yang hadir ke pejabatnya berikutan anak-anak mereka bakal melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Saya ikhlas membantu kerana saya sendiri pernah melalui kehidupan yang sukar untuk menuntut ilmu dahulu. Saya tidak mahu ibu bapa di Putatan mengharungi kesukaran yang sama seperti kami adik-beradik dahulu. Saya doakan anak-anak Putatan terus berjaya dan cemerlang dalam pelajaran,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79