Sikap Presiden UMNO Mohon Maaf Wajar Dicontohi, Berjiwa Besar – Ariff Majid
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid menyatakan sokongan terhadap tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang secara terbuka memohon maaf atas kekhilafan ketika berucap dalam sebuah majlis perwakilan UMNO baru-baru ini.
Menurut beliau, tindakan Ahmad Zahid menunjukkan keikhlasan dan kerendahan hati sebagai seorang pemimpin yang tidak lari daripada sifat kemanusiaan.
Jelasnya, sifat terbuka beliau perlu dipuji dan dijadikan contoh dalam politik tanah air terutamanya kepada pemimpin parti lain yang gemar memanipulasi agama demi kepentingan politik.
“Saya menyokong tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf diatas kekhilafannya ketika berucap pada majlis perwakilan mesyuarat bahagian baru-baru ini. Sebagai seorang manusia kita tidak boleh lari dari melakukan kesilapan.
“Sebagai seorang muslim yang baik, Presiden sentiasa merendah diri sanggup memohon maaf atas kesilapan tutur kata. Ianya jauh lebih baik daripada pemimpin parti lawan menggunakan agama untuk kepentingan politik.
“Tindakan beliau (Ahmad Zahid) yang memohon maaf sepatutnya dicontohi oleh parti Pas yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam seperti ‘malaikat akan beratur mengundi Pas’ pada 2018 lalu,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Ariff yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas menjelaskan bahawa UMNO menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk ekstremisme agama yang boleh mengancam kestabilan dan keharmonian negara.
“UMNO di bawah pimpinan Ahmad Zahid menunjukkan pendekatan politik yang lebih rasional dan matang, serta menolak ekstremisme agama demi menjaga kestabilan negara dan perpaduan rakyat.
“Kita mahu politik yang beradab, berpaksikan nilai moral, bukan politik yang menjual agama demi undi. UMNO kekal dengan prinsip kesederhanaan dan tanggungjawab,” tambahnya.
Ujarnya, semua ahli parti perlu memperkukuh kesatuan dalaman dan menyokong kepimpinan sedia ada demi memastikan UMNO kekal relevan dalam landskap politik negara.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri telah memohon maaf secara terbuka susulan tularnya sebuah video yang memaparkan beliau mengungkapkan satu perumpamaan tentang malaikat dalam ucapannya baru-baru ini.
Kenyataan itu dibuat dalam suasana penuh emosi bagi menggambarkan tekanan dan cabaran yang dihadapinya selaku pemimpin utama parti, namun mengakui perbandingan tersebut boleh mengundang kekeliruan dan salah tafsir. – UMNO Online