Pengukuhan Kerjasama Desa Asia-Afrika: Malaysia Tuan Rumah Program Latihan Antarabangsa AARDO 2025
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Program Latihan Antarabangsa AARDO 2025 yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 22 Julai di Pulau Langkawi.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penganjuran ini merupakan kesinambungan komitmen Malaysia terhadap kerjasama strategik dalam membangunkan komuniti desa di rantau Asia dan Afrika.
“Sejak menjadi antara negara perintis AARDO pada tahun 1962, Malaysia melalui Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kekal aktif menyumbang dalam latihan serta pembangunan kapasiti,” ujar beliau dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Ujarnya, program anjuran bersama INFRA dan Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Asia-Afrika (AARDO) itu menyasarkan tiga objektif utama:
1. Meningkatkan pemahaman peserta antarabangsa tentang dasar pembangunan luar bandar Malaysia, khususnya strategi pembasmian kemiskinan.
2. Memperkasa kompetensi peserta dalam pelaksanaan projek pembangunan di negara masing-masing.
3. Mempromosikan pendekatan pembangunan serantau yang inklusif dan mampan.
Jelas Ahmad Zahid, seramai 20 pegawai kerajaan dari negara-negara anggota AARDO akan menyertai program ini, selepas melalui proses saringan ketat yang dikendalikan oleh AARDO dan INFRA sendiri.
“Program ini adalah wadah penting bagi memperluas jaringan kerjasama strategik antara negara-negara Asia dan Afrika, selain menjadi jambatan ilmu dan pengalaman yang kukuh,” tambah Zahid.
Beliau turut menzahirkan harapan agar pelaksanaan program ini bukan sahaja dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan pembangunan desa yang diyakini, malah mempertingkatkan kesalinghubungan serantau dalam usaha mencapai kemajuan luar bandar yang mampan.
“Saya berharap program ini akan menjadi jambatan ilmu dan pengalaman yang kukuh antara negara-negara Asia dan Afrika, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan pembangunan desa yang diyakini. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online