“Mendekati Masyarakat, Menyemai Hikmah”… Rosnah Rai Pendekatan Dakwah Komuniti

PAPAR, 10 Julai – “Mendekati masyarakat, menyemai hikmah” bukan sekadar tema, tetapi menjadi semangat utama Program Street Dakwah Parlimen Papar yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin semalam.

Program anjuran KEMAS Daerah Papar itu menghimpunkan komuniti dalam suasana santai namun penuh nilai, dengan pendekatan dakwah secara terbuka, menyentuh hati dan menyatukan masyarakat pelbagai peringkat.

“Program seperti ini membuktikan bahawa dakwah bukan hanya di mimbar, tetapi juga boleh dilaksanakan di jalanan iaitu dengan hikmah, kasih sayang dan pendekatan mesra rakyat,” kata Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Papar.

Beliau turut menekankan kepentingan turun padang dalam menyampaikan mesej kebaikan, membina kefahaman agama dan memperkukuh ukhuwah.

Jelasnya, antara pengisian yang menarik perhatian ialah tazkirah ringkas, aktiviti rentas desa dan sukaneka yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga mempererat hubungan sesama penduduk.

“Inilah wajah sebenar pembangunan masyarakat iaitu gabungan ilmu, amal, dan interaksi yang membentuk jiwa,” tambah beliau.

Rosnah turut merakamkan penghargaan kepada KEMAS Papar, para peserta dan komuniti setempat atas sokongan serta komitmen menjayakan program tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79