MARA Komited Perkasa Ekonomi Ummah dan Terajui Industri Halal Global
KUALA LUMPUR, 10 Julai – MARA terus komited memainkan peranan yang lebih besar dalam memperkasa ekonomi ummah dan menjadikan Malaysia sebagai peneraju industri halal global melalui jalinan kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Johor.
Pengerusinya yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Fared Mohd Khalid bersama delegasi ke Ibu Pejabat MARA, hari ini.
Menurut beliau, perbincangan yang berlangsung secara produktif itu membuka pelbagai potensi kerjasama antara MARA, Johor Halal Development Corporation (JHDC) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam usaha memperkasa industri halal negeri Johor.
“MARA memiliki ekosistem yang menyeluruh termasuk latihan, pembiayaan, fasilitasi keusahawanan serta institusi pendidikan teknikal dan profesional yang boleh digembleng bersama inisiatif kerajaan negeri demi manfaat rakyat,” ujar beliau.
Jelasnya, antara fokus kerjasama yang dikenal pasti termasuk memperkasa sistem dan proses pensijilan halal, pembangunan usahawan kecil dan sederhana dalam industri halal serta peluasan pasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa melalui konsep Gate-to-Global.
Dalam masa sama, katanya, satu lagi inisiatif penting turut dicapai apabila kerajaan negeri Johor bersetuju menjalin kerjasama menerusi Yayasan Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan KKTM Ledang bagi mewujudkan sebuah pusat dialisis yang bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah membuka peluang
pembelajaran praktikal kepada pelajar bidang Bio-Medical.
“Insya-Allah, sinergi ini bakal memantapkan lagi peranan MARA dalam menggerakkan agenda pembangunan industri halal negara dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab utama halal dunia,” tambah Dr Asyraf lagi. – UMNO Online