Bangkitnya UMNO Terletak Pada Tindakan, Bukan Kata-Kata – Sollehin

BUKIT GANTANG, 10 Julai – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menegaskan bahawa UMNO kini berada dalam keadaan bersiap siaga dan tidak gentar untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk perlu bertanding di semua kerusi pada pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, kekuatan UMNO tidak harus bergantung kepada mana-mana pihak luar sebaliknya perlu dibina dari dalam parti itu sendiri.

“UMNO Bukit Gantang sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah jika perlu bertanding di semua kerusi. Kami tidak gentar, kami tidak bergantung harap pada sesiapa.

“Kalau benar-benar ingin melihat UMNO bangkit, maka kebangkitan itu harus bermula dari kita sendiri iaitu dari ahli-ahli parti, penyokong UMNO dan mereka yang masih percaya kepada perjuangan ini,” katanya ketika mesyuarat persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bukit Gantang, di Hotel Taiping Perdana baru-baru ini.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh. Turut hadir akar umbi sayap-sayap parti.

Sollehin yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia mengingatkan bahawa kebangkitan UMNO tidak boleh hanya dilaungkan dengan slogan semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan nyata dan penglibatan aktif daripada seluruh jentera parti.

“UMNO tidak boleh bangkit hanya dengan slogan. Ia perlu disokong, dihidupkan dan digerakkan oleh semua yang berada dalam parti dan bukan hanya di atas kertas sebagai ahli, tetapi mereka yang bersedia turun ke padang, berjuang, serta membawa suara rakyat,” katanya.

“Kita tak boleh bergantung pada ehsan parti lain untuk terus relevan. UMNO mesti berdiri atas kekuatan sendiri. Bangkit dengan maruah, dengan nilai dan dengan penuh keberanian,” katanya lagi.

Tambah beliau, semangat perjuangan akar umbi yang kuat dan komitmen sebenar dari semua pihak adalah kunci utama untuk mengembalikan semula kekuatan dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.

Mengulas lanjut, Sollehin menyeru ahli parti agar tidak terlalu tunduk kepada naratif yang merendahkan parti, sebaliknya harus mengangkat maruah dan sejarah perjuangan UMNO.

“UMNO pernah kalah dua kali, tetapi jangan kita lupa, parti ini juga telah menang berbelas kali. Apa yang perlu dimalukan? Lihat sekeliling kita. Segala kemajuan yang dikecapi hari ini terutamanya dari segi ekonomi, pendidikan, prasarana dan pembangunan negara.

“Itu semua adalah hasil perjuangan panjang parti ini. Khususnya ketika dibawah kepimpinan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang begitu banyak meletakkan asas-asas penting pembangunan negara,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79