ASEAN Mahu Situasi Di Laut China Selatan Diurus Secara Berhemah – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 10 Julai – ASEAN mahu semua pihak yang terlibat dalam isu Laut China Selatan agar menguruskan situasi di laluan perairan strategik itu dengan bijaksana dan berhemah bagi memastikan ketegangan geopolitik tidak semakin meningkat.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keamanan sejagat dilihat semakin rapuh dengan ketara, justeru ASEAN perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini terus terpelihara.

“Kita perlu memastikan agar ketegangan geopolitik tidak terus meningkat atau menjejaskan keselamatan serta perdagangan global di Laut China Selatan,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Persidangan Posca Menteri ASEAN bersama China sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Khamis.

Beliau berkata ASEAN menyambut baik perkembangan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dan berharap momentum positif itu berterusan.

Kami yakin dengan komitmen penuh semua pihak dalam rundingan ini, kita mampu memukakan CoC yang efektif dan substantif dalam masa terdekat,” katanya.

Mohamad berkata ASEAN menyambut baik kesediaan China menjadi Negara Senjata Nuklear (NWS) pertama menandatangani dan mengesahkan Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWF2) tanpa reservasi.

“Hal ini akan menandakan satu langkah penting ke hadapan, yang memperlihatkan kepimpinan dan komitmen China terhadap Asia Tenggara bebas daripada senjata nuklear,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, komited untuk bekerjasama dengan semua negara anggota ASEAN dan China bogi mempertingkatkan kerjasama demi manfaat rakyat. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79