Aplikasi ‘Najib Samuri’ (NS) Permudahkan Hubungan Penduduk Setempat – ADUN Parit Yaani
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri mengambil inisiatif memperkenalkan aplikasi ‘Najib Samuri’ (NS) sebagai salah satu ‘jambatan’ untuk masyarakat setempat.
Menurut beliau aplikasi itu boleh dimuat turun menerusi telefon pintar masing-masing dan usaha berkenaan diharap dapat mempermudahkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara satu sama lain.
“Ini sebagai satu langkah penting dalam usaha saya sebagai wakil rakyat untuk memperkukuhkan hubungan dengan pengundi serta rakyat di kawasan Sri Gading. Aplikasi ini bukan sekadar platform untuk menyampaikan maklumat, tetapi juga sebagai saluran dua hala tempat rakyat boleh menyalurkan suara, pandangan dan keperluan mereka secara terus kepada kami.
“Maklumat yang disalurkan dalam aplikasi ini merangkumi pelbagai aspek termasuk bantuan kawasan, serta aktiviti-aktiviti semasa yang melibatkan kerajaan.
“Lebih penting lagi, aplikasi ini juga membuka ruang kepada para usahawan tempatan, termasuk pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mempelajari dan mengaplikasikan strategi pemasaran digital melalui saluran ini,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau seterusnya berharap seluruh masyarakat di kawasan berkenaan khususnya di DUN Parit Yani memanfaatkan aplikasi berkenaan sebaik mungkin.
“Saya berharap seluruh rakyat di kawasan ini dapat memanfaatkan aplikasi ini sebagai ‘mata dan telinga’ – satu alat untuk kekal peka dengan perkembangan semasa dan juga untuk menyampaikan maklum balas secara terus.
“Apa yang paling penting ialah pemahaman. Jika semua pihak – sama ada di peringkat cawangan, bahagian, atau akar umbi benar-benar faham fungsi dan aspirasi di sebalik aplikasi ini, saya yakin manfaatnya akan menyeluruh.
“Insya-Allah, dengan sokongan dan kefahaman daripada penduduk, aplikasi ini akan menjadi jambatan yang menghubungkan aspirasi rakyat dengan tindakan kami sebagai wakil mereka,” ujarnya.- UMNO Online