UMNO ‘Mata Dan Telinga’ Kerajaan, Pantau Isu Kos Sara Hidup Rakyat – Mohd Razlan
KUALA LUMPUR, 9 Julai – UMNO menggalas tugas sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan terutamanya dalam memantau isu kos sara hidup rakyat di peringkat akar umbi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, UMNO merupakan sebuah parti yang begitu dekat di hati rakyat.
“Kita berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam memantau kos sara hidup rakyat di peringkat akar umbi.
“UMNO sebuah parti yang begitu dekat dengan hati rakyat. Sekiranya ada dasar atau sistem cukai yang nak diperkenalkan dan dikhuatiri akan mengelirukan atau membebankan rakyat, UMNO pasti turun padang; buat penerangan, menjalankan tinjauan serta dengar rintihan suara rakyat di bawah.
“Hasil dapatan tersebut akan kita angkat sebagai usul dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan seterusnya dibawa ke peringkat UMNO Malaysia untuk perhatian pihak kerajaan. Inilah amalan kita sejak dulu; turun padang, dengar suara rakyat, dan pastikan isu-isu rakyat sampai ke atas,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh menyeru agar segala dapatan yang diperolehi sepanjang musim Mesyuarat UMNO Bahagian-Bahagian itu disimpan dengan rapi.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada UMNO Bahagian Sabak Bernam kerana berjaya mengekalkan inisiatif yang proaktif ini. Pada masa yang sama, saya menyeru agar setiap hasil dapatan dikumpulkan, direkodkan dan dianalisis secara teratur.
“Pastikan semua data disimpan dengan rapi untuk tindakan susulan, sama ada oleh UMNO yang mewakili suara rakyat ataupun agensi kerajaan bertanggungjawab. Jangan biarkan suara rakyat tenggelam dalam statistik semata-mata; gunakan setiap data sebagai peluru untuk perubahan yang menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa keyakinan rakyat akan dapat dikembalikan sekiranya UMNO menggunakan ruang dan peluang sepenuhnya untuk bekerja sebaiknya.
“Walaupun kuasa kita sekarang tak sebesar dulu, namun gunakanlah sepenuhnya ruang yang ada untuk terus bekerja demi rakyat. Saya percaya, usaha kecil ini akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO satu hari nanti. Konsisten, ‘steady’, jangan pernah ‘give up’!
“Terima kasih kepimpinan UMNO Bahagian atas jemputan Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Bahagian Sabak Bernam. Teruskan perjuangan, eratkan ukhwah dan kekalkan kemenangan di sini,” katanya lagi. – UMNO Online