UMNO Johor Junjung Kasih Titah Prihatin Tunku Mahkota Demi Kesejahteraan Rakyat

JOHOR BAHRU, 9 Julai – UMNO Johor merafak sembah dan menjunjung kasih ke hadapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor atas titah penuh keprihatinan yang mencerminkan kepimpinan berwibawa dan berpandangan jauh demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah berkata, titah DYAM Tunku Mahkota Ismail mengenai pembukaan Hospital Pasir Gudang, cadangan gaji minimum RM4,000 di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), serta pembangunan bekalan air mentah dan terawat hingga tahun 2060 menunjukkan komitmen tinggi baginda terhadap kebajikan dan masa depan rakyat Johor.

“Titah DYAM Tunku agar Kementerian Kesihatan Malaysia menyegerakan penempatan petugas kesihatan di Hospital Pasir Gudang amat bertepatan, demi memastikan akses perkhidmatan kesihatan yang adil dan mengurangkan tekanan ke atas hospital-hospital utama yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Menurut beliau, saranan agar pelabur menawarkan gaji minimum RM4,000 di JS-SEZ pula adalah langkah penting dalam memastikan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada anak tempatan serta mengekang masalah penghijrahan tenaga mahir ke luar negeri.

“Begitu juga dengan titah baginda mengenai pembangunan infrastruktur air mentah dan terawat yang mampan sehingga tahun 2060, ia merupakan peringatan penting agar pembangunan negeri ini terus berteraskan kelestarian demi menjamin kesejahteraan generasi akan datang,” tambahnya.

UMNO Johor menyatakan komitmen penuh untuk menyokong segala titah dan aspirasi DYAM Tunku demi memastikan Negeri Johor terus maju, sejahtera dan berdaya saing.

“UMNO Johor mendoakan agar DYAM Tunku serta seluruh Kerabat Diraja Johor sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kesejahteraan untuk terus memayungi negeri dan rakyat Johor dengan penuh hikmah dan kasih sayang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79