Titah Tuanku Harapan Untuk Bangsa Johor, Bukan Modal Politik Murahan
JOHOR BAHRU, 9 Julai – Pemuda UMNO Negeri Johor menegaskan bahawa titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, adalah satu amanat penuh harapan dan bukan untuk dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak.
Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr. Mohammad Aswad Ithnain berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media oleh ARMADA BERSATU Johor bertarikh 8 Julai, namun menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu lagi bukti kegagalan menafsir maksud sebenar titah diraja itu.
“Titah Tuanku bukanlah satu ‘wake-up call’ untuk dijaja sebagai senjata politik, tetapi satu amanat yang membakar semangat untuk memperkukuh pembangunan Johor ke arah negeri yang lebih maju, sejahtera dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, titah tersebut tidak pernah memperlekeh Kerajaan Negeri, malah secara jelas menyokong dasar dan hala tuju yang sedang dilaksanakan oleh pentadbiran negeri kini.
Menurut beliau lagi, amat ironi apabila parti yang pernah diberi peluang mentadbir tetapi gagal menyelesaikan isu rakyat, kini cuba berselindung di sebalik institusi diraja untuk meraih simpati politik.
“Ketika diberi peluang, apa sumbangan sebenar PPBM dan ARMADA kepada Bangsa Johor? Rakyat tidak lupa rekod hambar mereka,” tegasnya.
Dr. Aswad turut memetik fakta bahawa Johor mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia pada tahun 2024 dengan kadar 6.4 peratus, mengatasi purata nasional.
Inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) juga menurut beliau, adalah hasil keberanian kerajaan negeri dalam merangka dasar berani dan progresif demi kesejahteraan rakyat.
“Cukuplah menunggang nama institusi diraja demi kepentingan politik sempit. Bangsa Johor tidak perlukan pendusta persepsi, sebaliknya memerlukan pemimpin yang benar-benar bekerja,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama beliau turut menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan institusi diraja dan menghormati semangat sebenar di sebalik setiap titah raja sebagai lambang kasih dan tanggungjawab terhadap rakyat. – UMNO Online