Sabah Catat Kadar Pengangguran Tertinggi … UMNO Sabah Pertikai Kejayaan 94% SMJ 1.0

KOTA KINABALU, 9 Julai – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mempersoalkan dakwaan kejayaan 94% Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0) yang diumumkan kerajaan negeri, ketika Sabah masih mencatat kadar pengangguran tertinggi di Malaysia iaitu 7.7%.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran, angka itu adalah statistik rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, bersamaan lebih 169,800 rakyat Sabah yang masih tidak bekerja iaitu lebih dua kali ganda daripada purata kadar pengangguran negara iaitu 3.2%.

“Kita diberitahu ekonomi Sabah berkembang, pelaburan mencecah RM35 bilion, lebih 400 projek dibawa masuk. Tapi berapa banyak peluang kerja sebenar yang diwujudkan? Berapa ramai anak muda kita dapat kerja tetap hasil projek-projek ini?” soal beliau dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Tambahnya, jika benar RM1.33 bilion telah dibelanjakan untuk pembangunan modal insan dan lebih 160 pusat TVET diselaraskan, mengapa ramai graduan Sabah masih menganggur?

“‘94% siap’ tidak bermakna apa-apa kalau rakyat masih miskin dan tiada kerja. Rakyat tidak hidup dengan statistik. Mereka perlukan pekerjaan, pendapatan stabil dan masa depan anak-anak yang terjamin,” tegasnya.

Justeru itu, Datuk Suhaimi mencadangkan agar satu audit bebas dijalankan terhadap pencapaian SMJ 1.0 oleh badan profesional yang benar-benar telus, bukannya oleh agensi kerajaan.

“Rakyat Sabah bukan bodoh. Mereka tahu beza antara realiti hidup mereka dan angka dalam laporan. Kalau benar mahu ‘Sabah Maju Jaya’, maka kemajuan itu mesti sampai ke kampung, ke rumah, ke dapur rakyat,” katanya.

Untuk rekod, Pelan SMJ 1.0 merupakan pelan pembangunan lima tahun yang dilancarkan pada tahun 2021, dan kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan kejayaan 94% pelaksanaan pelan tersebut menjelang pelancaran SMJ 2.0. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79