Progres Rumah SMJ Kinabatangan, Fakta Tidak Tepat Gagal Selesaikan Masalah – Naim
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Naim Kurniawan Moktar melihat provokasi murahan apatah lagi melibatkan fakta yang tidak betul tidak akan menyelesaikan masalah rakyat.
Sebaliknya tegas beliau, perkara tersebut hanya akan menyebabkan senario serta suasana tidak sihat yang tidak memberi apa=apa manfaat.
“Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam menyaksikan perbahasan berhubung pelaksanaan Rumah SMJ yang dianggap perlahan dan menimbulkan rungutan dalam kalangan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Namun, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyampaikan fakta sebenar secara berhemah dan profesional, bukan melalui lontaran kenyataan bersifat provokatif yang jauh dari kebenaran serta tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Dalam hal ini Mohd Naim memaparkan data rasmi Rumah SMJ Kinabatangan seperti berikut:
DUN SUKAU
Tahun 2023: 20 unit diperuntukkan
14 unit telah siap sepenuhnya
6 unit dalam proses penyiapan
Tahun 2024: 20 unit diperuntukkan
15 unit telah siap sepenuhnya
5 unit sedang dalam pelaksanaan
DUN LAMAG
Tahun 2023: 20 unit diperuntukkan
18 unit telah siap sepenuhnya
2 unit masih dalam pelaksanaan
Tahun 2024: 23 unit diperuntukkan • 14 unit telah siap sepenuhnya
11 unit masih dalam pelaksanaan
“Data ini adalah hasil pemantauan rasmi jabatan bertanggungjawab setakat 24 Jun 2025, dan ianya menggambarkan kemajuan sebenar di lapangan, bukan andaian atau persepsi tanpa fakta,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Kata beliau, isu rakyat perlu dijawab dengan ketelusan dan profesionalisme, bukan dengan reaksi emosi, sinis atau nada kebudak-budakan yang mencemarkan imej institusi legislatif kita.
Sebagai pemimpin masyarakat kata beliau lagi, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, masing-masing wajib menjunjung amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab, bukan berlindung di sebalik provokasi murahan.
“Akauntabiliti perlu diambil dan digalas dengan bermaruah meskipun berlaku kelewatan kepada pelaksanaan Rumah SMJ di Kinabatangan di mana ada yang memerlukan lanjutan kontrak lebih dari tiga kali.
“Saya yakin dan percaya, wakil rakyat dan rakyat akan memahami kelewatan yang tidak berlaku jika penyampaian maklumat yang diberikan lebih berhemah dan profesional,” ujarnya.
Pada masa yang sama beliau turut berkongsi video hasil lawatan AJK UMNO Kinabatangan, Tuan Lila Hj. Kamrun mengenai salah sebuah Rumah SMJ di Kinabatangan.
https://www.facebook.com/100001107696148/videos/pcb.24021295174157404/1111235680851168