Mandat Rakyat Penentu Masa Depan Sabah – Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU, 9 Julai – Bendahari UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bakal berlaku bukanlah satu perkara mengejutkan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang biasa.

Katanya, penggal semasa hampir ke penghujung dan mengikut peruntukan undang-undang, pilihan raya mesti diadakan dalam tahun ini bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memperbaharui mandat.

“Dalam sistem demokrasi, pembubaran DUN menandakan tamatnya satu penggal dan kuasa dikembalikan kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap wakil rakyat dan parti yang telah dipilih,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.

Menurut beliau, ketika suhu politik semakin meningkat, aktiviti politik turut semakin rancak dengan pelbagai program dan kenyataan daripada parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin mereka.

“Namun realitinya, ramai rakyat telah pun membuat keputusan. Mereka tahu siapa yang sentiasa turun padang dan memahami denyut nadi kehidupan seharian, berbanding mereka yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya,” ujarnya.

Salleh berkata, dalam politik berasaskan parti, kesetiaan bukan sesuatu yang boleh digugat dengan mudah, terutama bagi parti yang telah lama bertapak dan berkhidmat.

“Seperti seseorang yang sudah biasa minum Coke, bukan mudah baginya untuk menerima Pepsi. Dalam politik juga begitu — kesetiaan bukan sekadar soal jenama, tetapi soal kepercayaan yang telah dibina sejak sekian lama,” katanya.

Tambah beliau, tumpuan utama kini adalah kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar yang tidak terikat dengan mana-mana parti tetapi peka terhadap isu, prestasi dan perkembangan semasa.

“Oleh itu, parti-parti politik mesti tampil dengan mesej yang jelas dan tawaran yang meyakinkan. Mereka perlu menangani isu kehidupan sebenar dan bukan sekadar bersandar kepada slogan atau pengumuman sementara.”

Salleh turut mengingatkan bahawa masa depan Sabah tidak boleh dipertaruhkan dengan retorik semata-mata, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang stabil, dasar yang mantap serta komitmen yang ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Pilihan raya akan datang ini adalah saat penting untuk semua pihak — baik parti mahupun rakyat — membuat penilaian yang matang dan memperbaharui tekad untuk membina sebuah Sabah yang lebih stabil, adil dan makmur,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79