Kerja Keras, Pastikan UMNO/BN Peroleh Kemenangan Tertunda Pada PRU Ke-16
LARUT, 9 Julai – Ahli dan akar umbi diseru untuk bekerja keras bagi memastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan tertunda pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff berkata, UMNO pernah menang dengan cemerlang dalam 13 PRU namun tewas pada PRU ke-14 dan 15 secara berturut-turut.
“Sejak merdeka kita telah mengadakan 15 PRU. Kita telah menang 13 daripadanya dengan sangat cemerlang. Tetapi untuk PRU ke-14 dan 15 berturut-turut, kita menghadapi ‘keruh di hulu sehingga hilir’ dan kita tewas dengan cedera yang agak parah.
“Kita menang besar pada 13 PRU sebelum itu. Namun, kita hanya menang 30 daripada 178 kerusi ditandingi dari 222 jumlah keseluruhan. Kita hanya mendapat 13.5 peratus kerusi pada PRU ke-15 baru-baru ini.
“Undi popular yang kita dapat hanya 3.6 juta ataupun 23 peratus daripada jumlah keseluruhan. Dari 178 kerusi yang kita tandingi, UMNO hanya mendapat 26 kerusi iaitu 19 di semenanjung dan tujuh di Sabah,” katanya.
Jelasnya, UMNO telah dilanda tsunami penolakan politik daripada orang-orang Melayu dan kajian tuntas perlu dijalankan dalam usaha mengembalikan semula kekuatan parti.
“Apakah maksudnya? Kita telah ditolak. Parti terbesar Melayu ini telah ditolak oleh pengundi Melayu sendiri pada PRU ke-15 baru-baru ini. Kita mesti menerima hakikat dan tidak boleh ada ‘denial syndrome’.
“Sudah pasti kajian tuntas akan dijalankan untuk langkah mengatasinya walaupun kita berhadapan dengan situasi yang agak sukar. Namun begitu, alhamdulilah dengan kehendak Allah dan kebijaksanaan Presiden serta kepimpinan, mereka telah melakukan ijtihad politik yang hebat bersama Pakatan Harapan (PH) atas nasihat Agong.
“…selepas empat hari negara tidak berkerajaan dengan tekad untuk UMNO terus berada dalam survival politik dan mencipta anjakan ke hadapan dengan jiwa besar agar negara berada di landasan yang tepat. Maka UMNO menjadi pelengkap dalam menebus maruah di negara tercinta kita,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau juga menyeru ahli dan akar umbi untuk mengenepikan segala permusuhan dan bangkit berjuang supaya kemenangan tertunda tersebut menjadi kenyataan.
“Di Perak, kita hanya menang sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di Pahang pula ‘draw’ 17 kerusi dengan Perikatan Nasional (PN). Namun, dengan kebijaksanaan dan pandangan jauh Datuk Seri Wan Rosdy serta Datuk Seri Saarani, kita dapat mengetuai Kerajaan Negeri Perak dan Pahang.
“Saya berharap kita akan mendapat kemenangan tertunda pada PRU ke-16 ini. Kita telah bekerja keras, ketepikan apa jua permusuhan. Kita akan bangkit dan terus berjuang agar kemenangan tertunda ini kita akan menjadi kenyataan,” katanya lagi. – UMNO Online