Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih… UMNO Bergerak Satu Pasukan – Azman Ismail
BAKRI, 9 Julai – Ketua UMO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail menyeru semua ahli parti agar mengenepikan segala perbezaan dan mengutamakan semangat perpaduan demi memperkukuhkan kekuatan UMNO di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, hanya melalui kesatuan dan semangat yang jitu, parti akan mampu menghadapi segala cabaran serta terus kekal relevan di mata rakyat.
“Kita buang yang keruh, ambil yang jernih. Letak kepentingan parti di hadapan, bergerak sebagai satu pasukan, sebagai satu keluarga besar UMNO Bakri. Bersama-sama perkukuhkan jentera di semua cawangan-cawangan.
“Kejayaan parti bukan terletak kepada individu tetapi terletak pada semangat berpasukan. Perkasakan kerjasama Wanita, Pemuda dan Puteri. Setiap sayap berperanan penting. Wanita jentera di akar umbi, Pemuda pembawa suara perubahan dan Puteri penyumbang segala harapan.
“Dekatilah anak muda dan pengundi baru. Kita mesti menjadi suara mereka dan menyediakan ruang untuk mereka berperanan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bakri, empat peringkat yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Yong Sheng, pada Ahad.
Mengulas lanjut Azman mengingatkan akar umbi bahawa keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu telah meninggalkan banyak pengajaran. Ia bukan sahaja mencerminkan kekuatan dan kelemahan parti tetapi juga isyarat rakyat terhadap parti.
“Kita tidak menafikan bahawa landskap politik jauh berbeza. UMNO pernah berada di puncak dan telah melalui zaman yang penuh mencabar, maka sedarlah Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU yang akan datang bukanlah sesuatu yang boleh di pandang ringan.
“Ahli parti tidak boleh lagi hanya mengulang-ulang jasa-jasa lalu UMNO tetapi harus membuktikan parti mendengar denyut nadi rakyat, dahulukan kepentingan dan memperjuangkan masa depan yang lebih baik untuk generasi yang akan datang.
“Cabaran semakin besar terutama menghadapi orang-orang Melayu yang semakin berpecah belah, dan persaingan dari parti-parti lain yang cuba menunggang isu-isu rakyat. Perpecahan dalam parti hanya memberi ruang kepada pihak lawan meraih keuntungan. Tiada masa lagi untuk bersengketa sesama kita,” jelasnya.
Tegasnya, ahli parti harus bangkit dan gerak secara bersepadu, aktifkan semua cawangan bagi memastikan setiap jentera memainkan peranan dan tidak bergerak secara berasingan.
Pada masa yang sama Azman menjelaskan mesyuarat perwakilan ini bukan sekadar medan perjumpaan ahli tetapi harus diangkat dengan melaksanakan tanggungjawab perlembagaan UMNO.
“Mesyuarat perwakilan adalah wadah untuk terus memperkukuhkan tekad, menyusun langkah dan memperbaharui azam dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
“Cabaran politik hari ini tidak seperti dahulu. Politik hari ini bersifat sangat dinamik, penuh dengan percaturan dan kadang kala di luar jangkaan,” ujarnya. – UMNO Online