ASEAN Perlu Kekal Berdaya Tahan Hadapi Cabaran Global – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Negara anggota ASEAN perlu kekal bersatu dan memperhebat usaha ke arah pembinaan Asia Tenggara yang berdaya tahan, di tengah-tengah peningkatan ketegangan geopolitik, pemecahan ekonomi dan gangguan global berterusan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rantau ini perlu mengekalkan autonomi strategik dan tindakan kolektif bagi mendepani ancaman baharu seperti perubahan iklim, gangguan teknologi dan peningkatan polarisasi global.

“Dalam dunia yang berpecah akibat konflik, pengasas kita (ASEAN) memilih untuk membina hubungan dan menekankan multilateralisme. Hari ini kita berdepan ancaman baharu seperti perubahan iklim, gangguan teknologi serta masyarakat yang digerakkan oleh polarisasi politik dan ekonomi.

“Dalam kancah geopolitik, persaingan kuasa-kuasa besar terus membayangi rantau ini. Proteksionisme pula mengancam perdagangan pelbagai hala yang menjadi pemacu pertumbuhan kita.

“Konflik yang berlaku jauh dari rantau ini turut mengganggu pasaran kita, rantaian bekalan dan keselamatan makanan. Isu-isu ini mengancam kita semua, terutama negara di Selatan Global. ASEAN mesti menumpukan usaha ke arah pembinaan Asia Tenggara yang berdaya tahan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, Rabu.

Mohamad berkata asas penubuhan ASEAN yang dibentuk 58 tahun lepas melalui Deklarasi Bangkok adalah langkah berpandangan jauh ketika dunia dihimpit krisis nuklear dan perang proksi.

Beliau berkata Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang berlandaskan nilai keterangkuman dan kemampanan, selari dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang bermatlamat untuk membina sebuah rantau yang berdaya tahan, inovatif serta berpaksikan rakyat.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”. menampilkan 24 mesyuarat peringkat menteri membabitkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.

Acara peringkat tinggi selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1.500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Negara Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral dan para pegawai kanan Sekretariat ASEAN. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79