UMNO Perlu Politik Solusi, Legasi dan Moderasi Demi Perkukuh Parti – Norliza

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim menegaskan bahawa UMNO perlu memberi tumpuan kepada politik legasi, solusi dan moderasi sebagai pendekatan terbaik untuk mengukuhkan semula parti dan mengembalikan sokongan rakyat.

Beliau berkata ini adalah selaras dengan saranan daripada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu UMNO harus dilihat sebagai parti yang holistik dan berdaya saing.

Jelasnya, ini termasuklah dengan mewujudkan ruang yang mantap untuk melahirkan bakat-bakat baharu, khususnya dalam kalangan wanita muda.

“UMNO perlu meninggalkan legasi yang baik. Kita perlu buka ruang kepada bakat baharu dan memberi mereka idealisme perjuangan. Kita bukan sahaja mahu bertahan, tapi berkembang dan membantu perjuangan agar UMNO kembali kukuh,” katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Wanita UMNO baru-baru ini.

Tambah beliau, konsep politik solusi perlu diperhebatkan dalam parti iaitu UMNO sebagai parti komponen kerajaan harus memainkan peranan aktif mencadangkan penyelesaian terhadap isu-isu rakyat.

“Mesyuarat bukan hanya tempat menaikkan semangat, tetapi platform menyusun strategi dan mencadangkan penyelesaian kepada kerajaan. Kita beri cadangan, biar pucuk pimpinan yang buat keputusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggariskan keperluan memperkukuh politik moderasi dalam perjuangan parti, dengan peranan wanita sebagai penyejuk suasana dan agen penstabilan dalam parti.

“UMNO perlu kekal tenang. Bangkitlah wanita dan siapkan strategi untuk memastikan sokongan rakyat kembali kepada parti. Jadilah agen reformasi pembangunan negara,” tegas beliau.

Norliza turut mengingatkan bahawa kedudukan UMNO dalam kerajaan amat penting kerana ia membuka ruang dan peluang untuk parti terus bergerak dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Jangan biarkan perjuangan kita terhenti. Jadikan setiap mesyuarat bukan sekadar perjumpaan biasa tetapi medan menyusun strategi, menyusun kekuatan dan membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79