Kerajaan Teliti Bina Pagar Penghadang, Pasang Lampu Di Jalan Sungai Korok
JERLUN, 8 Julai – Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di Jalan Sungai Korok, Jitra. Langkah ini diambil bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya selepas kejadian tragis yang meragut nyawa sebuah keluarga awal minggu lalu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah menerima taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai penambahbaikan infrastruktur di laluan tersebut.
“Kita akan berbincang dengan JKR untuk membina guardrails di tepi sungai dan memasang lampu jalan di kawasan gelap,“ katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya menekankan bahawa isu ini akan disampaikan kepada menteri berkaitan bagi tindakan segera. Ahmad Zahid menyatakan perkara ini selepas menziarahi keluarga mangsa tragedi tersebut di Kampung Bohor Karang.
Kejadian nahas itu mengorbankan enam ahli keluarga termasuk empat kanak-kanak selepas kereta yang dinaiki dipercayai terbabas ke dalam Sungai Korok. Kesemua jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang.
Ahmad Zahid turut mengumumkan bahawa Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang terselamat akan dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA). “MARA akan membantu pendidikannya sehingga ke peringkat universiti. Beliau juga digalakkan untuk terus tabah dan rajin belajar demi masa depan,“ jelasnya.
Beliau menasihati Putri Qisya supaya sentiasa membaca surah al-Fatihah dan Yasin sebagai hadiah buat arwah ibu bapa serta adik-beradiknya. “MRSM bersedia menerimanya tahun depan, dan segala bantuan lain akan disalurkan,” tambah Ahmad Zahid. – Bernama