Hilang Kepercayaan Jadi Asbab 231 Ahli PPBM Sertai UMNO – Mohammad Daud

LARUT, 8 Julai – Tindakan 231 ahli PPBM menyertai UMNO menunjukkan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap parti tersebut, kata Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff.

Jelasnya, ia turut menunjukkan bahawa mereka masih mempunyai kepercayaan terhadap UMNO dan mempunyai minat untuk meneruskan perjuangan bagi membela agama, bangsa serta tanah air.

“Nampak sangatlah… di sini merupakan kubu Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Tetapi apabila mereka sendiri dah hilang kepercayaan kepada PPBM, itu sesuatu perkara yang sangat luar biasa. Walaupun sebahagian besar daripada mereka itu adalah bekas ahli-ahli UMNO, kita memandang tinggi atas minat dan kepercayaan mereka kepada UMNO untuk sama-sama berjuang.

“Sudah semestinya ia akan memberi satu ‘signal’ kepada bekas ahli-ahli UMNO lain yang kini berada dalam parti tersebut. Ini kerana 231 itu bukanlah satu angka yang kecil. Kalau kita lihat ahli PPBM di Larut ini pun, saya difahamkan tak berapa ramai. Maka, angka 231 itu pada saya agak signifikan,” katanya kepada UMNO Online.

Sementara itu, beliau berpandangan bahawa kehadiran para ahli di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut turut membuktikan bahawa parti ini semakin mendapat semula sokongan daripada orang Melayu khususnya.

“Alhamdulilah kita telah selesai Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut dan seramai 570 orang perwakilan hadir. Kehadiran sangat signifikan, para perwakilan dah mula kembali kepada UMNO. Ini merupakan impak baik kepada UMNO untuk mendapat kembali sokongan daripada orang Melayu. UMNO ini adalah parti terbesar untuk orang-orang Melayu.

“Saya rasa kita perlu berjiwa besar sebab semua ahli UMNO memandang tinggi kepada parti untuk kembali menjadi pemegang kuasa bersama pakatan dibentuk bagi sama-sama membina kekuatan orang-orang Melayu khususnya dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Jadi, gunakanlah ruang dan peluang melalui mesyuarat perwakilan ini bagi mendengar pandangan akar umbi yang mungkin kita boleh terjemahkan dalam bentuk perbuatan, tindakan dan hala tuju,” katanya lagi.

Terdahulu, dilaporkan seramai 231 orang ahli PPBM telah mengambil keputusan untuk bersama dengan UMNO bagi meneruskan perjuangan dalam membela agama, bangsa dan tanah air.

Perkara tersebut diumumkan ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut yang telah dirasmikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Sabtu. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79