Cukai & Rakyat Malaysia… Satu Realiti
BEBERAPA hari selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas sektor-sektor baharu bermula 1 julai 2025, ramai rakyat mula meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati.
Walaupun pengumuman telah dibuat lebih awal, namun pelaksanaannya tetap menimbulkan keresahan.
Ramai yang tertanya-tanya mengapa dalam keadaan ekonomi yang masih perlahan, kos sara hidup yang makin menghimpit, kerajaan memilih untuk mengenakan cukai tambahan pula.
Bagi sesetengah pihak, langkah ini dirasakan tidak kena pada masanya. Bagi yang lain pula, ia menambah lagi beban yang sedia ada.
Sebagai seorang rakyat dan juga ahli UMNO, saya memahami sepenuhnya kekecewaan ini. Kita hidup dalam zaman yang mencabar. Harga barang naik perlahan-lahan tapi berterusan.
Perbelanjaan isi rumah makin ketat. Ramai sedang berjimat, ada yang terpaksa ubah gaya hidup, potong belanja anak-anak. Maka apabila cukai baharu dikenakan, memang ramai rasa terkesan. Itu reaksi yang jujur dan wajar.
Namun dalam suasana ini, saya juga perasan satu pola yang sudah terlalu biasa. Bila ada dasar ekonomi yang berat, UMNO akan dikaitkan.
Parti ini sering dijadikan sasaran, seolah-olah segalanya berpunca daripada kita, walaupun dasar ini adalah keputusan kerajaan semasa yang melibatkan pelbagai parti komponen.
Pada saya, sudah tiba masanya untuk kita bercakap secara terus terang dan matang. Kita perlu melihat isu percukaian ini dari perspektif yang lebih besar. Bukan sekadar mencari siapa salah, tetapi memahami kenapa ia berlaku dan ke mana ia membawa negara.
UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah menolak sistem percukaian. Kita faham bahawa cukai adalah asas penting kepada sesebuah negara yang mahu maju dan seimbang.
Tanpa cukai, kerajaan tidak ada ruang untuk membantu rakyat. Sekolah tidak dapat dibina, hospital tidak dapat ditambah baik, subsidi tidak dapat disalurkan, dan bantuan tidak akan sampai kepada mereka yang memerlukan.
Itulah sebabnya dalam sejarah pentadbiran kita, pelbagai bentuk cukai diperkenalkan secara bertanggungjawab dan mengikut keperluan semasa.
Dan ketika tiba masanya, kita memperkenalkan GST bagi menggantikan SST yang tidak telus dan memberi kesan cukai berganda dalam rantaian ekonomi.
Saya masih ingat bagaimana hasil GST dahulu digunakan bukan sekadar untuk menampung operasi kerajaan, tetapi disalurkan semula kepada rakyat.
BR1M diberikan kepada mereka yang layak, Klinik 1Malaysia diperluas ke kawasan luar bandar, sistem pengangkutan awam seperti MRT dan LRTdipertingkatkan, malah subsidi pendidikan dan kesihatan dapat diteruskan tanpa gangguan besar.
Ia bukan dasar yang sempurna, tetapi ia membawa hasil yang nyata.
Petronas ketika itu juga mencatatkan rizab tunai yang tinggi. Pada mac 2018, rizab tunai petronas meningkat kepada rm164.7 bilion.
Syarikat itu masih mampu menyumbang dividen kepada negara, sambil melabur semula dalam sektor huluan dan hiliran yang strategik. Ini hanya dapat berlaku apabila dasar fiskal negara stabil dan mampan.
Namun selepas pru14, apabila GST dimansuhkan dan SST diperkenalkan semula, kerajaan kehilangan kira-kira RM21 bilion hasil setahun. Kesan langsungnya, hutang negara terus meningkat.
Hari ini, paras hutang mencecah rm1.172 trilion atau 64.3 peratus daripada KDNK negara. Ini jauh berbeza dengan 50.8 peratus semasa pentadbiran Barisan Nasional.
Dan dengan jurang fiskal yang semakin sempit, negara perlu mencari semula ruang untuk hasil yang stabil.
Sebab itulah sektor-sektor baharu mula dikenakan cukai. Ia bukan soal mahu menyusahkan rakyat, tetapi kerana negara ini tidak lagi mampu bergantung kepada hasil minyak atau komoditi semata-mata.
Subsidi kesihatan, bantuan makanan, biasiswa pelajar dan keperluan asas rakyat tidak mungkin dapat diteruskan tanpa sumber kewangan yang mencukupi.
Saya faham, bukan semua orang bersetuju dengan langkah ini. Ramai yang rasa tidak adil dan keliru.
Tapi sebagai ahli UMNO, kita perlu bercakap berasaskan fakta. Kita tidak pernah menolak sistem percukaian. Kita bahkan pernah memperkenalkan satu sistem yang lebih telus dan progresif.
Malangnya, sistem itu ditolak bukan kerana ia gagal, tetapi kerana ia tidak popular pada waktu itu.
Jadi apabila ada suara sinis yang menyindir kononnya UMNO bersetuju dengan pelaksanaan cukai sektor baharu, jawapan kita mudah.
Kami faham tentang keperluan cukai. Kami tidak hipokrit.
Kami tidak pernah lari daripada tanggungjawab.
Dan kami tahu bahawa tanggungjawab memimpin bukan sekadar menggembirakan orang ramai, tapi membuat keputusan sukar demi masa depan negara.
Isu cukai bukan isu parti. Ia isu negara.
Sama ada anda penyokong UMNO, PH, PN, atau atas pagar, kita semua rakyat malaysia. Kita semua mahukan kestabilan, kemajuan dan kehidupan yang lebih baik.
Dan semua itu menuntut dasar fiskal yang realistik, bukan hanya retorik yang enak didengar.
Kita berhak untuk menegur dan mengkritik. Itu hak rakyat. Tapi biarlah teguran itu berpaksikan maklumat yang betul dan niat untuk memperbaiki, bukan untuk membakar sentimen tanpa hala tuju.
Saya percaya, jika kita jujur menilai sejarah dan memahami realiti ekonomi hari ini, kita akan nampak bahawa langkah ini walaupun berat, adalah langkah yang perlu.
Dan seperti biasa, UMNO akan terus berdiri di sisi rakyat, membawa suara rasional, bukan sekadar popular. Kita memilih tanggungjawab, bukan sekadar sokongan.
Akhirnya, ini bukan tentang siapa betul dan siapa salah. Ini tentang ke mana arah negara kita akan pergi. Dan saya yakin, rakyat malaysia cukup matang untuk menilai dengan adil bila diberi gambaran sebenar.
Salam Perjuangan,
𝗠𝗢𝗛𝗗 𝗦𝗛𝗨𝗞𝗥𝗬 𝗕𝗜𝗡 𝗥𝗢𝗦𝗟𝗔𝗡 𝘢𝘥𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘱𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯𝘢𝘭𝘪𝘴𝘪𝘴 𝘱𝘰𝘭𝘪𝘵𝘪𝘬 𝘥𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘯𝘶𝘭𝘪𝘴 𝘱𝘳𝘰𝘭𝘪𝘧𝘪𝘬 𝘬𝘰𝘯𝘵𝘦𝘮𝘱𝘰𝘳𝘢𝘳𝘪 𝘜𝘔𝘕𝘖. 𝘔𝘢𝘯𝘵𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘯 𝘛𝘦𝘯𝘢𝘨𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘨𝘨𝘦𝘳𝘢𝘬 𝘉𝘪𝘳𝘰 𝘛𝘢𝘵𝘢𝘯𝘦𝘨𝘢𝘳𝘢. 𝘈𝘬𝘵𝘪𝘷𝘪𝘴 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘣𝘦𝘣𝘢𝘴 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘭𝘪𝘵𝘦𝘳𝘢𝘴𝘪 𝘱𝘰𝘭𝘪𝘵𝘪𝘬, 𝘱𝘦𝘳𝘭𝘦𝘮𝘣𝘢𝘨𝘢𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘯 𝘯𝘢𝘴𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭𝘪𝘴𝘮𝘦