Asas Perjuangan UMNO Demi Agama, Bangsa Dan Tanah Air Sentiasa Dipertahankan – Johari

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Asas perjuangan UMNO yang berteraskan agama, bangsa dan tanah air sentiasa dipertahankan meskipun strategi dan pendekatan berubah seiring zaman.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani berkata, perubahan landskap politik tanah air menyebabkan pembentukan kerajaan tanpa sebarang perkongsian kuasa bukan lagi satu realiti.

“Saya berada di Negeri Sembilan untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jempol, Rasah dan Seremban.

“Saya tekankan bahawa landskap politik negara telah berubah dan membentuk kerajaan tanpa sebarang perkongsian kuasa bukan lagi satu realiti. Kita tidak boleh lagi beranggapan hanya kita yang memegang kuasa sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, para pengundi pada hari ini menilai parti berdasarkan keupayaan memenuhi keperluan juga harapan mereka.

“Pengundi hari ini lebih kritikal dan menilai parti berdasarkan keupayaan memenuhi keperluan serta harapan mereka.

“Oleh itu, pendekatan kita juga mesti berkembang seiring zaman. Lebih maju kawasan tersebut, lebih tinggi juga daya fikir dan jangkaan pengundinya.

“Walau strategi dan pendekatan berubah, asas perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan tanah air akan sentiasa kita pertahankan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan bahagian-bahagian yang telah berjaya melaksanakan mesyuarat perwakilan masing-masing.

“Tahniah kepada seluruh saf kepimpinan bahagian-bahagian yang telah berjaya mengadakan mesyuarat perwakilan dan syabas kepada ketiga-tiga Ketua UMNO Bahagian iaitu Datuk Mustapha Nagoor (Jempol), Datuk Hasim Rusdi (Rasah) dan Mazalan Ma’arop (Seremban). Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79