Semangat UMNO Tangga Batu Membara, Sokongan Akar Umbi Teruskan Perjuangan
TANGGA BATU, 7 Julai – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu bagi tahun 2025 berlangsung dengan penuh semangat apabila mencatatkan kehadiran hampir 98 peratus daripada keseluruhan 618 perwakilan.
Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Perdagangan dan Komuniti, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang turut menyampaikan amanat penting kepada para perwakilan.
“Alhamdulillah, kita amat bersyukur kerana hampir 98 peratus daripada 618 perwakilan hadir, menunjukkan bahawa semangat dan sokongan akar umbi terhadap UMNO di Tangga Batu semakin membara.
“Amanat yang dibawa oleh kepimpinan tertinggi ini menjadi azimat penting untuk gerak kerja parti di peringkat akar umbi. Saya yakin dan percaya, dengan semangat ini, kita bukan sahaja mampu mempertahankan kemenangan di DUN Klebang, Paya Rumput dan Pantai Kundor, malah kita juga berazam untuk merampas kembali kerusi DUN Sungai Udang,” ujarnya,” katanya.
Ujarnya, persidangan UMNO yang berlangsung penuh semangat menjadi bukti kebangkitan parti di peringkat akar umbi.
Dalam hal ini, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka memaklumkan bahaw antara usul yang ditengahkan ialah menuntut agar kerusi Parlimen Tangga Batu yang merupakan kerusi tradisi UMNO dikembalikan kepada parti untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Rais menjelaskan, kerusi Parlimen Tangga Batu telah sekian lama ditandingi oleh calon UMNO sehingga PRU yang lalu apabila ia ‘dipinjamkan’ kepada parti komponen dalam Barisan Nasional.
Namun begitu katanya, melihat kepada kekuatan dan struktur sokongan pengundi di kawasan tersebut, UMNO Bahagian Tangga Batu berpandangan sudah tiba masanya kerusi itu dipulangkan semula.
“Kita membawa suara akar umbi. Usul ini telah dibahaskan sejak dari peringkat cawangan lagi dan hari ini ia diluluskan sebulat suara. Kita merayu dengan penuh rasa hormat dan takzim kepada Datuk Seri Ab Rauf selaku Pengerusi Perhubungan Negeri dan juga Datuk Seri Naib Presiden agar suara kami dibawa ke peringkat tertinggi. Kembalikan kerusi Parlimen Tangga Batu ini kepada UMNO.
“Usul ini telah dibawa sejak peringkat cawangan dan diluluskan sebulat suara hari ini. Dengan 85,000 pengundi Melayu daripada 120,000 jumlah pengundi di Parlimen Tangga Batu, kami yakin kerusi ini wajar dikembalikan kepada UMNO,” tegasnya.
Beliau turut menyentuh bahawa meskipun UMNO tewas dalam PRU lepas, kebangkitan parti kini sangat jelas terutama di Melaka apabila semangat ahli-ahli UMNO di semua peringkat sangat kuat dan bersatu hati.
“Masa depan UMNO bukan hanya bergantung kepada pucuk pimpinan, tetapi mesti bermula dari bawah,” katanya.
Rais juga menyeru semua ahli UMNO untuk terus bekerja kuat dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang bagi memastikan UMNO kekal sebagai teras kekuatan politik di Melaka dan seluruh negara. – UMNO Online