Program “Radu Tatap Radu” Meriahkan PDM Sindumin, Kukuh Perpaduan Komuniti

SINDUMIN, 7 Julai – Tapak tamu Pekan Sindumin menjadi tumpuan penduduk setempat apabila Program Komuniti “Radu Tatap Radu” berlangsung dengan penuh meriah dan warna-warni, membuktikan kekuatan perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi.

Program anjuran UMNO Bahagian Sipitang itu telah dirasmikan oleh Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk kampung dengan diiringi Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Abdul Rahman Mohd Noh.

Terdahulu dalam ucapannya, Salleh menzahirkan penghargaan terhadap usaha penganjur yang berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan bersifat inklusif.

“Inisiatif seperti ini penting dalam memperkukuh semangat muafakat serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat. Ia membuktikan bahawa semangat kekeluargaan dan kebersamaan masih kuat dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.

Program yang mendapat sambutan hangat itu menampilkan pelbagai acara menarik seperti pertandingan sepak takraw, bola tampar, dart, Mobile Legends serta pelbagai sukaneka unik seperti merambat, mempisong, mengupas pinang, bermain gasing dan pertandingan bunga kertas. Cabaran makan tapai terbanyak turut menjadi salah satu acara tumpuan yang mencuit hati pengunjung.

Tidak ketinggalan, persembahan tradisional kulintangan dan gerai jualan makanan memeriahkan suasana, sekali gus memperlihatkan bakat serta daya saing masyarakat tempatan dalam menjayakan program sebegini.

Penduduk yang hadir rata-rata melahirkan rasa gembira dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan secara berkala sebagai platform untuk memupuk perpaduan, mempromosikan gaya hidup sihat dan menghidupkan warisan budaya setempat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79