Permohonan TVET Julai Cecah 189,304, Pemangkin Mobiliti Sosial Anak Desa – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 7 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa bangga apabila permohonan kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi pengambilan Julai melonjak kepada 189,304 orang, satu angka yang jauh melepasi sasaran ditetapkan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, perkembangan ini jelas membuktikan keyakinan yang semakin tinggi terhadap laluan TVET sebagai pilihan utama dalam membina masa depan anak muda, khususnya dari luar bandar.

 

“TVET kini menjadi pemangkin kepada mobiliti sosial anak desa. Ia bukan lagi laluan kedua, tetapi merupakan landasan utama untuk mencapai kejayaan melalui kemahiran,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menegaskan, kementeriannya akan terus memainkan peranan penting dalam memperluaskan peluang dan mencipta mobiliti sosial melalui jaringan 280 institusi TVET di bawah KKDW.

Menurut beliau, usaha memperkasa bidang kemahiran ini akan diteruskan demi memastikan lebih ramai belia negara, terutamanya dari desa, memperoleh latihan berkualiti dan berpeluang membina masa depan yang lebih cerah dan bermakna.

“Insya-Allah, kita akan teruskan ikhtiar ini agar tidak ada anak muda yang tercicir daripada arus pembangunan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79