Majlis Pogirurumaan Jadi Medium Efisien Tangani Isu Tempatan – Mohamad Alamin
KIMANIS, 7 Julai – Komitmen terhadap rakyat terus menjadi keutamaan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin apabila beliau turun padang menyertai Majlis Pogirurumaan atau program santai bersama penduduk di Kampung Baru Kelatuan Batu 6.
Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis, menjelaskan keutamaan seorang wakil rakyat adalah untuk mendengar suara rakyat dan bersama-sama mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
“Adalah menjadi fokus utama saya mendengar suara rakyat dan berusaha menyelesaikannya bergantung kepada saiz atau beratnya permasalahan berkenaan.
“Kalau sekadar berucap, kemudian saya balik, masalah tidak akan selesai. Sebaiknya kita sama-sama mencari solusi kepada setiap permasalahan yang dibangkitkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri berkata program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat menyampaikan isu dan keperluan mereka secara langsung kepada wakil rakyat dalam suasana yang santai dan terbuka.
“Ia adalah cara sangat efisien dan memudahkan penduduk. Sebab itu, sangat penting wujud kerjasama baik antara pemimpin dan rakyat.
“Hasilnya sangat berkesan, perbincangan juga santai dan sangat harmoni,” jelas beliau.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Bongawan, Yusoff Minin. – UMNO Online