Kesatuan Dan Amanah Tunjang Kekuatan UMNO – Norshida

SEGAMAT, 7 Julai – Dalam landskap politik Malaysia yang semakin mencabar, Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshidah Ibrahim, menegaskan bahawa kesetiaan dan amanah merupakan dua nilai asas yang perlu terus dipelihara oleh setiap ahli parti bagi memastikan kelangsungan dan kekuatan UMNO.

Mengulas ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau menyatakan bahawa nilai-nilai ini menjadi kekuatan utama dalam mempertahankan jati diri UMNO, khususnya ketika berdepan krisis dan tekanan politik.

“Dalam era di mana ada yang mudah berpaling tadah ketika parti berada dalam kesukaran, ahli yang setia dan amanah telah terbukti menjadi tiang seri yang memacu perjuangan UMNO untuk bangkit semula,” ujar beliau.

Norshidah turut mengimbau kembali tempoh getir selama 22 bulan UMNO menjadi pembangkang, termasuk isu rampasan aset dan kekangan kewangan.

Namun begitu, katanya, kesetiaan ahli menjadi kekuatan dalaman parti yang tidak ternilai, mengatasi segala cabaran luaran.

Tambah beliau, amanah bukan sekadar janji, tetapi mencerminkan integriti individu dalam menyumbang kepada parti dan negara.

“UMNO tidak perlukan ahli yang hanya bijak beretorik. Kita perlukan mereka yang benar-benar jujur dan mampu berdiri teguh bersama parti dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan rakan sekutu dalam Barisan Nasional seperti MIC dan MCA, yang menurutnya menjadi bukti bahawa solidariti politik merentasi parti komponen mampu menjadi kekuatan bersama dalam menghadapi cabaran semasa.

Mengulas tentang peranan generasi muda dalam UMNO, beliau menyeru agar anak muda menghargai legasi perjuangan dan mengambil peranan aktif dalam memperkukuh parti.

“Kesetiaan bukan hanya untuk mempertahankan kepentingan peribadi, tetapi juga satu penghormatan terhadap sejarah, dasar dan perjuangan UMNO selama lebih enam dekad,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa UMNO mesti lebih bersedia dan terbuka dalam menghadapi perubahan zaman, memahami aspirasi rakyat dan menyesuaikan dasar serta pendekatan dengan keperluan semasa.

“Hanya dengan kesetiaan dan amanah yang kukuh, kita mampu membina UMNO yang lebih responsif, adaptif dan diyakini sebagai pembela sebenar rakyat,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79